Nissan GT-R Track Edition 2017 – lengkap dengan suspensi Bilstein Damptronic talaan perlumbaan


Nissan telah mendedahkan satu lagi varian dalam barisan model GT-R, iaitu Nissan GT-R Track Edition. Model yang diasaskan dari model GT-R 2017 ini diletakkan diatas varian Premium, Prestige dan Black Edition, tetapi dibawah model tertinggi GT-R Nismo.
Track Edition dibangunkan oleh satu pasukan di Nismo untuk mereka yang gemar memandu di litar, dengan prestasi yang lebih tinggi berbanding GT-R standard.
Antara perubahan yang dilakukan adalah menambahbaik dinamik pemanduan R35 menerusi pemadanan suspensi Bilstein Damptronic dengan talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Bar anti-oleng pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.
Model khas untuk litar ini turut diberikan roda aloi forged Nismo Black Racing berdiameter 20-inci dan bampar hadapan yang lebih lebar. Walau bagaimanapun, spesifikasi sebenar yang lain adalah berlainan mengikut pasaran.

Track Edition untuk pasaran Jerman menerima tempat duduk Recaro dengan bahagian belakang karbon bersama spoiler belakang karbon ditawarkan sebagai opsyen. Untuk pasaran UK pula, GT-R Track Edition dipadankan dengan tempat duduk Recaro berwarna merah/hitam yang diambil dari GT-R Black Edition, manakala spoiler karbon hadir sebagai ciri standard.
Penutup but gentian-karbon dan bahagian belakang tempat duduk karbon merupakan ciri opsyenal. Satu ciri standard yang sama untuk semua pasaran adalah lencana Track Edition yang dipadankan pada papan pemuka.
Walau bagaimanapun, model Track Edition ini bukanlah model perlumbaan istimewa yang diringankan dengan menanggalkan pelbagai ciri (seperti Renault Megane 275 Trophy R), jadi, ia masih dilengkapi dengan sistem infotainmen NissanConnet bersama skrin sesentuh dan 11-pembesar suara Bose, serta pelbagai ciri lain.
Nissan GT-R Track Edition masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar enam-kelajuan. Penghantaran kepada pelanggan yang menempah model ini akan dimulakan pada awal November ini. - paultan

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu