Ini Last 'Race' Aku - Mohd. Hafiz


IPOH 16 Dis. - "Ini last race aku".

Itu ungkapan yang berulang kali disebut pelumba Cub Prix, Mohd. Hafiz Nor Azman, 22, kepada rakan-rakannya sebelum menyertai perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar di Johor hari ini.

Pada perlumbaan tersebut, Mohd. Hafiz yang merupakan pelumba Cub Prix daripada Petronas Sprinta-Yamaha CKJ Racing kategori CP150 maut selepas terbabit dalam kemalangan pada perlumbaan itu petang tadi.

Menurut Nurhan Md. Nayan, 22, Mohd. Hafiz yang ditemuinya semasa menghadiri majlis kenduri minggu lalu berulang kali menyebut perlumbaan yang disertainya hari ini adalah perlumbaannya yang terakhir.

Katanya, Mohd. Hafiz juga ada memberitahu yang dia akan melakukan yang terbaik pada perlumbaan itu untuk mendapatkan kedudukan ketiga keseluruhan CP150.

"Banyak kali dia sebut yang ini last race dia. Dia nak buat yang terbaik dan tidak sangka yang ini betul-betul perlumbaan terakhir dia. Kami terkejut sangat dan tidak sangka dia dah tiada," katanya ketika ditemui di rumah keluarga Mohd. Hafiz di Kampung Serdang Permai, Kampung Kepayang di Simpang Pulai di sini hari ini.

Sementara itu, kakak sulung Mohd. Hafiz, Nor Shaziela, 30, berkata, dia terkilan apabila hajat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa kedua ibu bapa mereka mengerjakan umrah tidak kesampaian.

Katanya, dia yang akan turut sama menyertai Mohd. Hafiz telah menyediakan kesemua kelengkapan dan mereka dijangka bertolak mengerjakan ibadah tersebut pada 27 Januari depan.

"Dia memang berhajat bawa mak dan abah ke umrah, dia memang beritahu awal-awal kepada kami. Semua persiapan telah siap dan tak sangka hajat dia tak sampai.

"Semasa kejadian, saya menonton perlumbaan tersebut dan fikir dia tidak apa-apa sebab nampak dia bangun selepas terjatuh. Emak pun beritahu Hafiz selamat," katanya.

Menurut Nor Shaziela, dia bagaimanapun terkejut apabila ibunya menghubungi semula dan memberitahu adiknya itu telah tiada.

"Emak cakap, mereka pergi ke sana (Johor) bertiga (bersama ayah), tidak sangka balik semula ke sini (Ipoh) berdua," katanya yang memberitahu jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang esok. - UTUSAN ONLINE

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas