Harga 70% Barangan Di 10 Pasar Raya Di Kuching Menurun: Chong


KUCHING: Harga bagi 70 peratus barangan di 10 pasar raya di bandar raya ini didapati menurun jika dibanding pada tahun lepas.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chien Jen pada sidang media di Ibu Pejabat KPDNHEP di sini, semalam.

Beliau mendedahkan, antara barangan itu, bawang putih China dan bawang merah India yang didapati turun sekitar 40 hingga 50 peratus termasuk harga telur ayam yang juga didapati turun.

Bagaimanapun katanya, harga bagi 20 peratus barangan lain pula dikesan mengalami kenaikan yang mana senarai harga itu direkodkan oleh petugas pemantau harga yang dilantik oleh kementeriannya.

Senarai yang digunakannya untuk perbandingan itu bagi tempoh 1 Januari 2018 dan 1 Januari tahun ini, melibatkan 90 jenis barangan di 10 pasar raya di Kuching merangkumi Boulevard, Emart Batu Kawa, Emart Matang, Everrise Batu 4 1/2, H&L Eastern Mall, Giant Petra Jaya, Giant Tabuan Jaya, Servay EG Mall, Servay Summer Mall dan Upwell Gita.

“Secara keseluruhan, harga bagi 70 peratus barangan kebanyakannya makanan didapati telah menurun. Peratusan penurunan harga ini diambil dari satu barangan ke barangan lain dan satu tempat ke tempat lain.

“Harga didapati turun dan stabil ekoran tiada lagi GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Inilah logiknya kerana di bawah GST, ia dikenakan di beberapa peringkat.

“Di bawah GST, rakyat membayar RM44 bilion setahun jika dibandingkan dengan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) yang mana rakyat hanya membayar RM21 bilion setahun,” katanya.

Jelasnya lagi, secara keseluruhannya, pengguna membayar RM23 bilion lebih rendah dari penggunaan cukai setahun dan pengguna ini kebanyakannya dari kalangan berpendapatan rendah.

Pada masa sama, beliau memberitahu, KPDNHEP akan meneruskan usaha secara berterusan bagi memantau harga barangan terutamanya ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina (TBC).

Menurut Chong lagi, langkah itu bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan mengaut keuntungan ketika musim perayaan.

“Secara amnya, harga barangan terutamanya makanan akan mengalami penurunan yang sedikit, namun bagi kedai makanan dan restoran pula adalah perkara berbeza kerana mereka menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan,” ujarnya.

Selain itu Chong berkata, banyak pasar raya mini dibuka sejak akhir-akhir ini yang pastinya akan memberi persaingan kepada pasar raya besar lain.

Katanya, dengan peningkatan persaingan ini, ia sudah pastinya akan menyebabkan penurunan harga barangan.

“Kita percaya dengan persaingan akan memberi kesan kepada harga barangan dan ia semestinya memberi kebaikan kepada pengguna,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Chong menjelaskan isu susu formula yang didapati rosak berlaku di Kuala Lumpur melibatkan seorang pengguna.

“Kita telah menerima aduan ini dan mengambil maklum perkara tersebut untuk tindakan sewajarnya dan kita juga membawa perkara ini kepada Kementerian Kesihatan kerana ia di bawah kementerian tersebut,” jelasnya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas