Delegasi Sarawak Pantau Rundingan Pembebasan


KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berlepas ke Siam Reap, Kemboja pagi ini bagi melihat sendiri keadaan 40 warga negeri ini yang ditahan di negara itu.

Difahamkan lawatan itu atas kapasitinya sebagai wakil kerajaan negeri seiring dengan keprihatinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg terhadap insiden menimpa kumpulan berkenaan.

Sumber memberitahu NSTP, lawatan itu juga bagi membolehkan kerajaan negeri memantau dengan lebih dekat proses rundingan pembebasan tahanan terbabit yang sedang berlangsung antara wakil Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Kemboja.

Selain Fatimah, delegasi kerajaan negeri yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ialah bekas Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merangkap Ahli Parlimen Santubong.

Penyertaan Wan Junaidi adalah atas kapasiti beliau sebagai pengamal undang-undang berpengalaman, selain pengetahuan luasnya dalam aspek diplomatik dan perundangan antarabangsa.

“Delegasi Sarawak turut diiringi Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar, Deddy Faisal Ahmad Salleh yang terbabit secara langsung mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

Sebaik tiba Siam Reap, delegasi itu akan terus ke Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay melalui perjalanan darat selama sejam setengah untuk melihat sendiri keadaan semua tahanan.

Seramai 47 warga Malaysia ditahan di penjara di wilayah itu termasuk masing-masing tiga dari Selangor dan Sabah, selain seorang dari Kuala Lumpur.

Semua mereka yang berusia antara 19 hingga 44 tahun ditahan pada 11 Disember lalu di sebuah rumah selepas disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian atas talian didalangi sindiket antarabangsa.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang diperoleh, semua mereka menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia antarabangsa selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan di Kemboja.

Hingga kini semua tahanan berkenaan belum dituduh di mahkamah negara itu.

Mengikut undang-undang tempatan, semua rakyat Malaysia itu boleh dikenakan tahanan tanpa bicara selama tiga tahun.

Sementara itu, Fatimah melalui kiriman WhatsApp memaklumkan tumpuan utama lawatan itu adalah meninjau sendiri keperluan berkaitan, termasuk bantuan khidmat perundangan yang boleh disalurkan.

“Ini juga bagi memastikan aspek kebajikan semua tahanan terbabit sentiasa dilindungi sepanjang berada dalam tahanan dan proses perundangan,” katanya. - BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas