Perbetulkan garis panduan didakwa larang RTM buat liputan di negeri pembangkang, kata Abdul Karim


KUCHING: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo diminta memperbetulkan garis panduan yang didakwa melarang Radio Television Malaysia (RTM) membuat liputan di negeri-negeri pembangkang.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, semalam.

Bercakap kepada pemberita selepas sidang media mengumumkan penganjuran Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia ke-117 di sini, beliau berkata negeri-negeri pembangkang masih dipinggirkan RTM dan Gobind selaku menteri bertanggungjawab tidak melaksanakan tugasnya.

Ini kerana Abdul Karim berpendapat, RTM jelas sekali tidak membuat liputan terhadap acara-acara kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gobind seharusnya melakukan sesuatu segera.

Malah, pada sidang media itu, RTM tidak membuat liputan menyebabkan beliau beranggapan RTM benar-benar memboikot kerajaan negeri.

“Adalah mengecewakan buat kita kerana kita kurang mendapat liputan daripada RTM. Saya fikir adalah menjadi tugas RTM sebagai organisasi kerajaan menyatukan rakyat di negara ini dengan membuat liputan di mana sahaja walaupun di kawasan pembangkang,” tambahnya.

Selain itu, Abdul Karim mendakwa tindakan RTM tidak membuat liputan di negeri pembangkang seperti GPS jelas menunjukkan RTM lebih teruk semasa Barisan Nasional (BN) masih menjadi kerajaan persekutuan.

Menurutnya, walaupun Sarawak di bawah GPS dan tidak di bawah pakatan parti yang membentuk kerajaan persekutuan, Sarawak masih menyanyikan lagu kebangsaan ‘Negaraku.’

Tambahnya, beliau faham jika RTM tidak membuat liputan sekiranya sidang media semalam adalah mengenai politik GPS, tetapi ia adalah mengenai kejohanan golf yang dijadual berlangsung di Sarawak dari 18 hingga 23 Jun tahun ini.

“Sidang media hari ini adalah mengenai kejohanan golf antarabangsa dijadual diadakan di Sarawak dalam waktu terdekat.

“Bagaimana RTM boleh menterjemah ini sebagai majlis politik kerana kita di sini hanya bercakap mengenai kejohanan golf bukan perkara lain,” ujarnya.

Baru-baru ini, Gobind mengulangi kementeriannya tidak mengeluarkan sebarang arahan atau garis panduan kepada RTM mengenai liputan di negeri-negeri pembangkang.

Gobind juga berkata, beliau telah dimaklmumkan keputusan RTM itu dibuat hasil rundingan dalaman di peringkat negeri di negeri-negeri terbabit. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu