Hafizh Mahu Manfaat Ujian Di SIC


SEPANG: Hafizh Syahrin Abdullah mahu memanfaatkan tempoh ujian pramusim selama enam hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bermula esok untuk lebih memahami jentera baharunya, KTM RC16.

Pelumba Red Bull KTM Tech3 itu berkata, buat masa ini dia masih menghadapi beberapa isu antaranya mengawal jentera ketika keluar dari selekoh namun percaya masalah itu dapat diselesaikan di Sepang.

“Kami perlu dapatkan pelarasan motosikal supaya lebih lancar dan senang untuk keluar di selekoh sebab jentera KTM ini menggunakan enjin V4 seperti yang digunakan Ducati dan beberapa jentera lain.

“(Jentera) ini menghasilkan kuasa lebih awal (berbanding Yamaha sebelum ini) dan casis tak dapat ikut rentak enjin.

“Harap di Sepang nanti dengan komponen baharu yang perlu dicuba, ia dapat menyelesaikan masalah saya dan saya akan cuba memahami karakter (jentera) ini,” kata Hafizh kepada media selepas sidang akhbar serta bertemu peminat bersama KTM di SIC, hari ini.

Hafizh dan pasukannya dijadual menjalani ujian pramusim selama enam hari di SIC dengan ujian rasmi terakhir berlangsung di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, 23 hingga 25 Februari depan.

Sebelum ini, Hafizh atau dikenali sebagai Pescao menjalani dua ujian pramusim di Valencia dan Jerez.

“Dua ujian (pramusim) masih belum cukup dan pasukan juga masih baharu dengan KTM dan kami akan cuba berusaha keras dengan lebih cepat lagi.

“(Di Sepang), kami akan cuba semua komponen yang diberikan KTM, di Qatar masih boleh cuba tapi di Sepang ini, ada enam hari dan ia satu kelebihan untuk KTM mencuba barang baharu.

“Di Qatar, hanya fokus untuk mendapatkan asas supaya apabila tiba waktu perlumbaan, tak banyak yang perlu diubah suai. Itu yang saya harapkan dan kami akan cuba yang terbaik dalam tempoh enam hari ini,” katanya.

Pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Dunia bagi musim 2019 dijadual membuka tirainya di Losail pada 10 Mac depan. - BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu