47 Tahanan Warga Malaysia Dibebaskan Dari Penjara Kemboja
KUALA LUMPUR: Kesemua 47 warga Malaysia yang ditahan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey telah dibebaskan lewat petang ini selepas beberapa perundingan dibuat dengan pihak kerajaan Kemboja dan Malaysia.
Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang mengesahkan perkara itu berkata, keputusan meluluskan pembebasan itu dibuat oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Sen setelah mendapati semua tahanan itu telah ditipu oleh sindiket ejen pekerjaan.
“Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan kita sudah melihat dan meneliti semua perkara bahawa tahanan dari Malaysia telah ditipu terdaya oleh sindiket ejen pekerjaan.
“Kita juga melihat daripada segi hubungan diplomatik kedua-dua negara yang sudah lama terjalin,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Wisma Putra pada Khamis lepas mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.
Dr Mustapha berkata, selain Wisma Putra, beberapa pemimpin dan wakil rakyat dari Sarawak turut berada di Kemboja beberapa hari lalu untuk membincangkan cara penyelesaian bagi membebaskan tahanan terbabit.
Dalam pada itu ibu kepada salah seorang tahanan Zunita Sedini sebelum ini berkata, anaknya Yusuf Islam bersama 46 lagi rakyat Malaysia dijanjikan peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan sehingga AS$1,500 (lebih RM6,000), namun semuanya hanya sandiwara apabila setibanya di Kemboja mereka tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan.
Sementara itu, Wisma Putra setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan pembebasan berkenaan. - BERNAMA
Comments
Post a Comment