SIC Akan Anjurkan Perlumbaan FIM World Endurance Championship & FIA World Touring Car Pada Bulan Disember

  • Litar Antarabangsa Sepang akan menganjurkan dua pusingan perlumbaan FIM World Endurance Championship dan FIA World Touring Car.
  • Acara ini akan berlangsung dari 13 hingga 15 Disember 2019.
  • Para penunggang dan pemandu negara akan mengambil bahagian dalam kedua-dua perlumbaan motosikal dan kereta ini.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan menjadi tuan rumah bagi dua buah acara perlumbaan antarabangsa pada bulan Disember 2019. Acara berganda FIM World Endurance Championship dan juga FIA World Touring Car akan dilangsungkan di bawah lampu limpah litar berkenaan.

Seperti yang telah diumumkan pada suatu ketika dahulu, acara FIM Endurance World Championship (EWC) yang berprestij akan membuat kemunculan sulungnya di tanah air kita. Ini merupakan peluang terbaik anda untuk menyaksikan motosikal superbike kegemaran anda diuji sehingga had kebolehannya selama berjam lamanya.

Acara ini telah diberi nama “8 Hours of Sepang”, di mana ianya akan menampilkan pasukan perlumbaan ketahanan motosikal terbaik Asia yang akan bertanding bagi merebut kelayakan untuk menyertai acara terkemuka “Suzuka 8 Hours Grand Finale” seiringan dengan pasukan dan penunggang EWC tetap.

Acara di Sepang akan menjadi pusingan yang kedua dalam kalendar FIM EWC 2019-2020; yang mana ia akan disusuli oleh perlumbaan Bol d’Or dan diadakan selepas perlumbaan “24 Heures Motos”. Jadual ini adalah sebahagian daripada kalendar musim sejuk Eurosports Events yang dirombak semula.

Untuk makluman anda, terdapat penunggang Malaysia yang menyertai perlumbaan “8 Hours Suzuka” tahun lalu. Zaqhwan Zaidi bersama dengan penunggang dari Indonesia, Andi Farid Izdihar dan penunggang dari Australia, Troy Herfoss telah berlumba bagi pasukan Honda Asia-Dream Racing Team dan mendapat tempat ke-tujuh. Pasukan ini akan bersaing sekali lagi dalam perlumbaan ini pada tahun ini.

Akan ada lebih banyak penunggang Malaysia yang akan menyertai pusingan di Sepang pada bulan Disember ini. Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali telah mengatakan bahawa mereka akan menyertakan para penunggang dari pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team yang baru dilancarkan, bersama dengan Khairul Idham Pawi dari pasukan PETRONAS Sprinta Racing Team.

Perlumbaan ketahanan ini berbeza daripada perlumbaan ‘sprint’ yang biasa dari segi ‘faktor yang tidak boleh dijangkakan’, yang mana dari sinilah akan munculnya drama. Contohnya, motosikal pendahulu mungkin secara tiba-tiba mendapati radiatornya bocor dan krunya akan bergegas bagi membaiki kerosakan ini. Pada waktu inilah para peminat boleh menyaksikan penunggangnya menunggang dengan penuh semangat bagi mengejar semula masa.

Dan bukan itu sahaja. Pada keesokan harinya, perlumbaan finale FIA World Touring Car/OSCARO akan berlangsung di bawah lampu limpah buat kali pertama.

Dato’ Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, berkata: “Dengan ketiadaan perlumbaan F1 di Malaysia, kami telah ditugaskan untuk menggantikannya dengan acara bertaraf dunia yang lain yang akan dimasukkan dalam kalendar tahunan kami. Melalui undian peminat dan kajian kebolehlaksaan lanjutan, FIM EWC dan FIA WTCR merupakan dua buah acara pilihan pilihan teratas, kedua-duanya dikendalikan oleh Eurosports Events”.

“Kerjasama istimewa bersama Euroports Events akan menjadikan perlumbaan ini eksklusif dan tersendiri, yang mana akan menempa sejarah buat Malaysia dalam penganjuran dua kejohanan dunia secara bersama dalam satu hujung minggu”.

“Kedua-dua perlumbaan ini akan berlangsung sehingga terbenam matahari dan bendera penamatnya akan dikibarkan di bawah Lampu Litar SIC baharu. Tiket sudah boleh didapati melalui laman sesawang SIC dan kami galakkan semua peminat untuk datang dan saksikan kejohanan bertaraf dunia yang mengujakan ini ketika mereka menuju ke #RoadToMalaysia”.

Dato’ Razlan telah membuat kenyataan tersebut sewaktu majlis anugerah “Petronas SIC Motorsports Association of Malaysia Award 2018”.

Tiket ke acara perlumban berganda FIM EWC dan FIA WTCR kini sudah mula dijual. Harganya bermula dari RM275 untuk grandstand utama dan maklumat lanjut boleh didapati dari laman sesawang SIC di pautan ini: https://www.sepangcircuit.com/ticketing/wtrc-ewc. - MM

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu