SKMM yakin rakyat Sarawak dapat nikmati 5G menjelang 2021


KUCHING: Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Al-Ishsal Ishak yakin pelanggan iaitu rakyat negeri ini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar 5G menjelang 2021.

“Perkhidmatan jalur lebar 5G sebenarnya sangat menarik dan ada sedikit salah faham. 5G boleh dilaksanakan hari ini untuk industri misalnya enam industri utama iaitu perkilangan, pelancongan, e-dagang, kerajaan digital, bandar pintar dan pertanian.

“5G untuk peranti-peranti Internet untuk industri-industri boleh dilakukan dari segi projek rintis hari ini, 5G untuk pelanggan mungkin lewat sikit, mungkin menjelang 2021,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa (IDECS) 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Al-Ishsal berkata, kelewatan itu mungkin disebabkan penggunaan agak berkurangan tetapi penggunaan industri seperti perkilangan, robotik dan pengangkutan adalah lebih aktif.

Menurutnya, Sarawak negeri yang sangat menarik mempunyai kira-kira tiga juta penduduk dan di atas kertas penembusan jalur lebar hampir 100 peratus, kebanyakannya mudah alih tetapi rangkaian tetap masih berkurangan.

Tambahan katanya, Sarawak negeri yang besar, justeru kombinasi fiber optik yang baik oleh SACOFA, Sarawak Energy Berhad dan penyedia perkhidmat lain dengan teknologi mudah alih, tanpa wayar dan sebagainya dapat memberi liputan yang lebih baik.

“Hari ini saya fikir kita di peringkat asas kerjasama antara SKMM dengan kerajaan negeri Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan saya telah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) mengenai perkara ini.

“Beliau (Abang Johari) amat mengalu-alukan usaha sama bersama SKMM dengan SMA dan kita telahpun mewujudkan jawatankuasa kerja.

“Jawatankuasa kerja ini mahu melihat pelaburan yang untuk membina menara-menara (telekomunikasi) dari dana kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, supaya kita dapat seleraskan penggunaannya agar tidak bertindih,” jelas Al-Ishsal.

Dengan itu katanya, sumber kewangan yang terhad boleh digunakan sebaik mungkin.

Sebagai contoh bagi kawasan yang sudah ada liputan Internet, SKMM dan SMA mahu meningkatkan kualiti liputan dan Sarawak mahu mendahului dari segi industri, jelasnya.

“Sudah tentu industri tertentu memerlukan perkhidmatan 5G begitu juga bandar pintar di mana ribuan atau jutaan peranti digunakan maka kita memerlukan rangkaian telekomunikasi yang kukuh, terjamin.

“Itu akan kita usahakan bersama kerajaan negeri. Jadi Sarawak amat mengalu-alukan usaha sama ini dan melangkah ke hadapan kerana kerajaan negeri dan SKMM mahu melakukan yang terbaik bersama,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu