Agong Tinjau Pelaksanaan SOP Di Sekolah
KUALA LUMPUR: Keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap keselamatan dan kesihatan guru dan pelajar sekolah terserlah apabila baginda berkenan meninjau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan sesi pembelajaran secara bersemuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Danau Kota, di sini.
Ini susulan pembukaan semula sesi persekolahan membabitkan kelas peperiksaan awam, khususnya tingkatan lima dan enam pada Rabu lalu melalui proses pengajaran dan pembelajaran normal baharu, kira-kira tiga bulan terhenti akibat pandemik COVID-19.
Seri Paduka, diiringi anakandanya Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, berangkat tiba di sekolah berkenaan pada 10 pagi, disambut Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Radzi Jidin.
Sejurus tiba, guru bertugas terlebih dahulu membuat pemeriksaan suhu ke atas baginda sebelum Al-Sultan Abdullah berkenan menggunakan cecair pembasmi kuman yang diletakkan di atas alat hasil inovasi pelajar yang hanya memerlukan seseorang memijak alat itu untuk mengeluarkan cecair berkenaan.
Seri Paduka kemudiannya berkenan menerima sembah taklimat berkenaan pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah dan tatacara kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi oleh guru, murid dan ibu bapa atau penjaga bagi mencegah penularan COVID-19.
Al-Sultan Abdullah turut meninjau sendiri proses pengendalian kantin sekolah dan melihat SOP pelajar ketika beratur membeli makanan pada waktu rehat, beramah mesra dengan peniaga kantin, sambil memuji kebersihan premis kantin itu.
Baginda kemudiannya ke Makmal Fizik sekolah itu bagi melihat sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka dengan tatacara kebiasaan baharu, sambil bertanyakan guru mengenai kandungan pengajaran serta memberikan kata-kata semangat kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
Lawatan Seri Paduka diteruskan dengan baginda mengunjungi Bengkel Jahitan Pendidikan Khas dan melihat sendiri kaedah pembelajaran secara dalam talian bagi pelajar yang belajar dari rumah.
Al-Sultan Abdullah kemudian ke sebuah kelas dan menerima taklimat mengenai SOP ketika makan di dalam kelas pada waktu rehat, dan tanpa kekok, turut berkenan bersantap bersama pelajar di dalam kelas berkenaan.
Pada akhir lawatan, baginda menerima lambaian daripada guru-guru yang kelihatan teruja menyaksikan keberangkatan ketua negara itu ke sekolah berkenaan.
Tidak mahu menghampakan mereka, Al-Sultan Abdullah kemudiannya berkenan memanggil guru untuk mengabadikan gambar bersama, namun masih mengikuti SOP ditetapkan.
Sementara itu menerusi kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, sekolah dan guru di atas kesiapsagaan dan persediaan rapi bagi menjamin keselamatan diutamakan dan mengelakkan risiko jangkitan dalam kalangan guru dan pelajar sepanjang berada di sekolah.
Memahami ada murid lain yang juga rindu untuk kembali ke sekolah menuntut ilmu, bertemu guru dan kawan-kawan, Seri Paduka turut berharap agar murid-murid ini dapat bersabar dahulu buat ketika ini, kata beliau.
"Seri Paduka turut menasihati guru dan pelajar bersabar menjalani sesi persekolahan dengan tatacara kebiasaan baharu, termasuk penjarakan sosial, dan sentiasa berdisiplin menjaga kebersihan diri serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan di dalam dan luar waktu persekolahan," katanya.
Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga semua guru dan pelajar di Malaysia yang kembali bertugas dan bersekolah dipermudah segala urusan dan dilindungi Allah SWT.
Bermula 24 Jun, seramai 500,444 pelajar daripada 2,440 sekolah menengah yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), serta peperiksaan antarabangsa kembali semula ke sekolah. – BERNAMA
Comments
Post a Comment