Malaysia Minta UNHCR Segerakan Proses Penempatan Semula Pelarian
KUALA LUMPUR: Malaysia meminta Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerjasama erat dengan ASEAN bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kesan limpahan krisis wilayah Rakhine terus memberi impak kepada rantau ini, justeru meminta ASEAN mencari penyelesaian yang berkesan untuk krisis itu.
"Apa yang dilakukan dalam ASEAN untuk saling membantu mencari jalan penyelesaian yang efektif untuk wilayah Rakhine? ASEAN perlu melakukan lebih banyak untuk membantu Myanmar dan negara itu perlu lebih berusaha membantu diri bagi menyelesaikan krisis ini supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih bermakna," katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang buat julung kali diadakan secara maya hari ini berikutan pandemik COVID-19. Vietnam menjadi tuan rumah sidang itu.
Perdana Menteri berkata Malaysia tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai hadnya, ditambah dengan pandemik COVID-19.
Adalah tidak adil, Malaysia diharapkan melakukan lebih banyak usaha untuk menampung kedatangan pelarian ke negara ini, katanya.
"Walaupun, Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami menyediakan bantuan kemanusiaan kepada pelarian etnik Rohingya dan pelarian lain dari Myanmar.
"Tetapi situasi ini tidak boleh berterusan selama-lamanya," katanya.
Muhyiddin berkata, Malaysia secara konsisten menyokong penyelesaian jangka panjang dan berkekalan terhadap penderitaan etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang semakin mudah terdedah kepada eksploitasi termasuk jenayah merentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan.
"Penafian dan kekecewaan boleh mendorong mereka berpotensi direkrut oleh kumpulan pengganas dan puak pelampau yang kekal berdiam diri semasa pandemik. Sikap diam diri tidak boleh dianggap sebagai tidak aktif kerana kumpulan itu masih menimbulkan ancaman keselamatan yang serius kepada rantau ini," katanya.
Perdana Menteri juga berkata ASEAN perlu mengamalkan pendekatan menyeluruh bagi memerangi dan membendung pergerakan orang yang tidak teratur untuk mencegah dan menghukum anggota sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mangsa pelarian. – BERNAMA
Comments
Post a Comment