300 Jangkitan Baharu HIV Didaftarkan Di Hospital Miri
MIRI: Sebanyak 300 jangkitan baharu virus kurang imun manusia (HIV) telah didaftarkan di Hospital Miri dalam tempoh lima tahun lalu.
Perkara ini dijelaskan Doktor Perunding Hospital Miri Dato Dr Fam Tem Lom ketika menyampaikan ceramah tentang penyakit maut itu sempena sambutan Hari Aids Sedunia di Pustaka Miri, pagi tadi.
Mengulas topik tentang stigma, pengasingan dan penyebaran penyakit, beliau memberitahu, kini seramai 400 pesakit adalah dibawah rawatan susulan.
Sehubungan itu, beliau meminta golongan yang merasakan diri mereka terdedah dengan penyakit tersebut untuk segera melakukan ujian pemeriksaan dan rawatan.
Antara yang berisiko mendapat virus HIV adalah pengamal seks bebas dan golongan homoseksual yang melakukan hubungan seks tanpa kondom dan perlindungan serta penagih dadah yang berkongsi jarum suntikan.
"Anda tidak perlu risau kerana maklumat kesihatan anda adalah rahsia," tambah Dr Fam kepada mereka yang ingin mendapat rawatan Aids di Hospital Miri.
Dr Fam berkata, dengan mengetahui status kesihatan diri sendiri dan memahami cara virus merebak, ia dapat mengurangkan penularan virus dan jangkitan.
Adanya pemahaman tinggi masyarakat tentang Aids juga dapat mengikis stigma terhadap penyakit serta meningkatkan sokongan moral kepada pesakit.
Tentang jangkitan di Malaysia, sebanyak 100,000 kes HIV telah dilaporkan setakat ini sementara di seluruh dunia, jumlah pesakit Aids mencecah angka 40 juta orang.
Program berkenaan dianjurkan bersama Pustaka Miri, Hospital Miri, Abbvie dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan dirasmikan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni. - UB
Comments
Post a Comment