Dasar Kesejahteraan Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Diperkenalkan Tahun Hadapan


KUCHING: Kerajaan Negeri akan mengeluarkan Dasar Kesejahteraan bagi penjawat awam Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (PANS) pada tahun hadapan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan) Datu Dr. Sabariah Putit berkata dasar itu merupakan antara usaha memastikan penjawat awam di Sarawak mencapai kesejahteraan dengan mengimbangi keperluan kehidupan dan pekerjaan.

Beliau berkata dalam usaha menyokong agenda transformasi PANS menerusi Pelan Tindakan PANS 2010-2020, kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan dan kesejahteraan penjawat awam negeri.

Ini kerana menurutnya, kerajaan negeri percaya penjawat awam yang sejahtera adalah berprestasi tinggi lantas mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada organisasi dan rakyat khasnya.

"Usaha di bawah Pengurusan Perubahan Budaya menggunakan aplikasi psikologi meletakkan fokus kepada budaya digital agar dapat mewujudkan perkhidmatan awam yang tangkas, berdaya tahan serta mempunyai tahap penyesuaian diri tinggi.

"Penjawat awam di negeri ini hendaklah disiapsiagakan mendepani cabaran era kerajaan digital, salah satu inisiatif ialah melalui penganjuran program perubahan minda," katanya ketika berucap mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani pada majlis penutupan Hari Psikologi dan Kaunseling PANS kali keempat di sebuah hotel di sini, hari ini.

Sabariah berkata bagi tujuan itu juga, Pelan Perancangan Strategik Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling PANS bagi tahun 2018-2020 diwujudkan dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan lagi institusi perkhidmatan psikologi dan kaunseling penjawat awam negeri.

Menurutnya, pelan tersebut merupakan rujukan utama fokus pelaksanaan, pendekatan dan aplikasi perkhidmatan psikologi dan kaunseling negeri selain menjadi indeks pencapaian utama kepada Unit Sumber Manusia Negeri (SHRU) terutamanya Bahagian Sokongan Pekerja.

Melalui pelan itu katanya, lima bidang utama kecemerlangan dikenalpasti iaitu Perkhidmatan Cemerlang, Pembangunan Kecemerlangan, Kesejahteraan Psikologi di Tempat Kerja, Kecemerlangan Tenaga Kerja dan Penginstitusian.

"Kabinet negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan 42 jawatan Pegawai Tadbir yang melaksanakan fungsi psikologi dan kaunseling di peringkat kementerian dan jabatan memerlukan.

"Pewujudan jawatan ini merupakan satu keperluan PANS bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang menyeluruh," jelasnya.

Selain itu katanya, ia berfungsi menyokong dua bidang strategik Pelan Tindakan PANS 2010-2020 iaitu Pengurusan Perubahan Budaya dan Pengurusan Bakat dalam mentransformasikan perkhidmatan awam negeri sekali gus sebagai persiapan menghadapi Strategi Ekonomi Digital Sarawak.

Hari Psikologi dan Kaunseling PANS dianjurkan oleh Unit Sumber Manusia Negeri (SHRU) dan buat julung kalinya diadakan pada 2015. Edisi keempat kali ini bertema 'Kesejahteraan Psikologi Dalam Era Digital'.

Penganjuran kali ini menyaksikan lima bengkel dan empat ucaptama diadakan sepanjang dua hari berlangsungnya Hari Psikologi dan Kaunseling PANS bermula 26 November 2018.

Kira-kira 700 penjawat awam daripada pelbagai latar belakang dan agensi kerajaan negeri dan pusat mengambil bahagian. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu