Ketua Kampung Tabah Jaga Anak Derita Kanser


MUKAH: Walaupun salah seorang anaknya menderita kanser tahap empat, sedikit pun tidak tergambar kesukaran pada wajah Haslimi Hassan, 42.

Malah dia masih mampu bergurau dan ketawa apabila jenaka dihambur ketika berbual.

Namun jauh di lubuk hati Haslimi, hanya dia sendiri yang memahaminya.

Haslimi merupakan bapa kepada Alieya Safira Haslimi, kanak-kanak berusia dua tahun yang menderita kanser otot yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.

Kisah pengorbanannya yang sanggup menunggang motosikal dari Daro ke Kuching hanya untuk menjenguk salah seorang puteri tersayang di Kuching menjadi buah mulut orang ramai yang kagum dengan kuasa kasih sayang bapa kepada anaknya.

Begitupun, Haslimi sebenarnya turut menggalas tanggungjawab sebagai ketua Kampung Badong di Daro.

“Jika ada keramaian atau khidmat saya diperlukan, saya akan ada di kampung sehingga selesai majlis,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini pada salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Agrobank di Kampung Badong.

Ketika ditanya mengenai keadaan kesihatan Alieya, Haslimi berkata keadaan anaknya bertambah baik setelah menjalankan rawatan radioterapi sejak awal November.

Dijangkakan rawatan itu akan tamat pada Januari tahun depan.

Haslimi melawat anaknya sekerap tiga kali sebulan dan akan menghabiskan masa bersama Alieya dari pagi hingga ke malam.

Sudah tentu masa terluang itu hanya untuk dia bersama anak keduanya itu sebelum kembali semula ke Daro untuk menunaikan tugas sebagai ketua kampung.

Haslimi turut bersyukur kerana dapat menumpang bermalam di rumah kakaknya di Kuching untuk melepaskan penat setelah seharian menjaga Alieya.

Mengenai sumbangan dan bantuan kewangan, beliau berterima kasih kepada orang awam dan wakil-wakil rakyat serta semua pihak yang memberi sumbangan kepadanya.

Haslimi turut mempunyai seorang lagi anak sulung perempuan bernama Norhafizah berusia tujuh tahun yang sedang belajar di tahun satu Sekolah Kebangsaan Hijrah, Badong.

Kisah Haslimi turut mendapat perhatian Agrobank yang mengadakan derma kilat hasil sumbangan kakitangannya yang kemudiannya disampaikan Pengarah Wilayah Agrobank Sarawak Syed Ibrahim Syed Mohd.

Sejurus tamat majlis berkenaan, Haslimi kemudiannya segera bergegas ke Kuching bagi menjenguk Alieya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu