Syarikat Jepun Berminat Melabur Di Sarawak


TOKYO: Tiga syarikat dari Jepun menyatakan minat untuk melabur di Sarawak.

Minat tersebut diluahkan menerusi pertemuan mereka dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Tiga syarikat yang terlibat dalam industri pengurusan data digital, biomas dan hidrogen itu, amat berminat melabur di Sarawak kerana potensi, lokasi dan insentif menarik ditawarkan kerajaan negeri.

Seorang wakil daripada syarikat pengurusan data digital pada pertemuan tersebut menyatakan bahawa Sarawak merupakan lokasi pelaburan menarik kerana memiliki pelbagai insentif dan kurang terdedah kepada bencana alam seperti Jepun.

Syarikat yang terlibat dalam industri hidrogen pula menyatakan minat mereka untuk membina sebuah kilang penghasilan hidrogen di Sarawak sebagai projek pelopor.

Cadangan projek biomas tersebut pula merupakan usaha sama syarikat Jepun dengan Pusaka Capital, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

Awang Tengah berkata pertemuan dengan ketiga-tiga syarikat tersebut amat positif.

“Proses rundingan akan diteruskan sebelum menandatangani perjanjian untuk melakukan pelaburan di Sarawak,” katanya.

Awang Tengah mengetuai rombongan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan berada di Tokyo untuk lawatan kerja selama tiga hari.

Turut bersama dalam rombongan tersebut adalah Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng dan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas