Lantikan Jawatan Utama PKR Tidak Cerminkan Prinsip Perwakilan Adil & Saksama - Azmin


SHAH ALAM: Pelantikan jawatan utama kepemimpinan PKR yang diumumkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, dilihat sebagai tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama (fair and just representation) terhadap aspirasi ahlinya.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam satu kenyataan pagi ini, berkata lantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk bergerak ke hadapan.

Justeru, pemimpin nombor dua parti itu menggesa Anwar untuk meneliti semula perlantikan jawatan utama kepemimpinan PKR.

Azmin berkata, pelantikan yang dibuat selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar.

“Beberapa individu yang dinamakan juga terbabit secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.

“Jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul oleh seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.

“Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan,” katanya.

Azmin berkata, pelantikan keanggotaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga harus dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP.

“Justeru, saya akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada Presiden yang sedia maklum dengan pendirian saya dan majoriti MPP yang dipilih.

“Pendirian ini sudah dimaklumkan kepada Presiden beberapa minggu lalu dan saya menggesa Presiden memberi perhatian serius demi menjamin masa depan parti yang kukuh dan inklusif.

“Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam PKR menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan ahli PKR,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR dalam barisan kepemimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang baharu bagi sesi 2018-2021

Anwar turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju sebagai Naib Presiden yang masing-masing mewakili Sabah dan Sarawak.

Turut dilantik semula, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebagai Setiausaha Agung.

Pelantikan itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan di Facebook (FB) rasmi PKR malam tadi.

Pemilihan PKR yang berlangsung dari Oktober hingga November lalu menyaksikan kekecohan di beberapa cabang di seluruh negara termasuk di Jelebu (Negeri Sembilan), Kuala Selangor (Selangor), Keningau (Sabah), Tawau (Sabah), Pensiangan (Sabah), Alor Gajah (Melaka), Masjid Tanah (Melaka), Tangga Batu (Melaka), Kota Melaka (Melaka) dan Jasin (Melaka) apabila parti itu buat pertama kali memperkenalkan pengundian secara dalam talian.

Beberapa dakwaan termasuk peranti yang digunakan untuk pengundian dikatakan dicerobohi, campur tangan luar serta undi hilang berterbangan antara apa yang dikatakan Kem Rafizi dan Azmin, mencemari pemilihan yang diadakan selepas Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya. - BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu