PDP Taruh Nelson Cabar Baru Di Ba'kelalan PRN12


KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) bakal mempertaruhkan Datuk Nelson Balang Ringin bagi mencabar Baru Bian di kerusi N.81 Ba'kelalan pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti. 

Nelson yang merupakan Setiausaha Agung PDP pernah menyandang kerusi tersebut selepas memenangi pada Pilihan Raya Kecil 2004 dan Pilihan Raya Negeri 2006. 

Manakala Baru yang merupakan penyandang dua penggal kerusi tersebut sejak PRN2011 merupakan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak dan juga Menteri Kerja Raya. 

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing percaya Nelson merupakan calon terbaik bagi menawan kembali kerusi tradisi PDP tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).  

“Nelson merupakan calon terbaik dan saya setuju beliau mewakili parti di kerusi Ba'kelalan pada PRN12 yang dijangka berlangsung pada tahun 2021. 

“Untuk menang beliau (Nelson) mesti mula bekerja dan  turun padang berjumpa dengan rakyat di kawasan mulai sekarang,” kata Tiong ketika ditanya pemberita pada Malam Media semalam. 

Sementara itu, Nelson berkata beliau sedia untuk mencabar Baru di kerusi  tersebut pada PRN12 yang dijangka berlangsung pada tahun 2021. 

Malah menurut Nelson, beliau sudah mula turun padang menemui rakyat dan percaya PDP ada peluang untuk merampas kembali kerusi tersebut dari PKR. 

“Ba'kelalan ada lebih kurang 200 kawasan penempatan dan saya ada penyokong yang boleh diharap. 

“Tetapi ada juga kawasan penduduk yang tidak dapat kita tembusi kerana sudah menjadi penyokong kuat PKR,” ujarnya.  - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu