Pembatalan Kejohanan Renang Para Dunia 2019, Operator Hotel Rugi RM1.5 Juta
KUCHING: Operator hotel di sini dijangka mengalami kerugian kira-kira RM1.5 juta selepas tempahan untuk bilik penginapan dibatalkan.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cabang Sarawak Mohamad Ibrahim Nordin berkata, tempahan bilik penginapan di hotel-hotel di sekitar Kuching dibatalkan ekoran keputusan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) membatalkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019.
Kejohanan Renang Para Dunia 2019 dijadual berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos 2019 di sini dan Kuching sebagai tuan rumah.
Beliau memberitahu, laporan penghunian rasmi tiga hotel yang dipilih secara rawak di sekitar bandar raya ini, mencadangkan hampir 2,600 bilik telah ‘diblok’.
“Saya diberitahu oleh yang lain, sepanjang tarikh itu (malam) bilik-bilik telah ditempah. Kami akan berdepan kerugian sebanyak empat peratus berbanding tahun lalu (disebabkan pembatalan kejohanan ini),” katanya semalam.
Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata beliau amat bersedih dengan pembatalan kejohanan itu kerana Sarawak telah melakukan banyak usaha bagi memastikan penganjurannya berjaya.
“Sudah tentu kita sangat sedih, kita telah melakukan banyak persiapan, bukan bermula tahun ini tetapi bermula semasa pembidaan lagi dan 64 negara telah mengesahkan penyertaan.
“Kita juga sangat sedih kerana kejohanan ini mewakili golongan kurang upaya,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas pembatalan kejohanan itu pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaran di Bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan di pejabatnya di sini semalam.
Bagaimanapun katanya, Sarawak perlu akur dengan keputusan itu dan memahami dasar luar Malaysia.
“Ketika bidaan dibuat, kerajaan ketika itu di bawah BN (Barisan Nasional), jadi persetujuan dicapai dengan tempat kejohanan berlangsung ialah Kuching kerana kita ada fasiliti bertaraf dunia,” katanya.
Ahad lepas IPC menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman web rasminya, www.paralymic.org berkata keputusan berkenaan dibuat pada mesyuarat lembaga jawatankuasa itu di London setelah Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal memberi jaminan yang diperlukan bahawa perenang dari Israel boleh mengambil bahagian, bebas daripada diskriminasi dan selamat semasa kejohanan itu.
Ia termasuk pematuhan sepenuhnya protokol IPC berkaitan lagu kebangsaan serta bendera dan penyediaan visa yang berkaitan.
“Pergerakan Paralimpik telah dan sentiasa didorong oleh keinginan untuk memacu kemasukan dan bukan pengecualian. Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini. IPC akan mengambil keputusan yang sama jika ia menghadapi situasi yang sama walaupun melibatkan negara yang berbeza,” menurut kenyataan itu.
Presiden IPC Andrew Parsons berkata Kejohanan Dunia perlu terbuka kepada semua atlet dan negara yang layak untuk bersaing dengan selamat dan bebas daripada diskriminasi.
“Apabila negara tuan rumah tidak memasukkan atlet dari negara tertentu atas alasan politik, kami tidak mempunyai pilihan kecuali mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu.
“Tidak kira negara yang terlibat dalam perkara ini, IPC akan mengambil keputusan yang sama jika berdepan situasi serupa melibatkan negara berbeza.
“Pada September 2017 semasa IPC menandatangani kontrak dengan Majlis Paralimpik Malaysia (NPC Malaysia) untuk menjadi tuan rumah acara itu, kami mendapat jaminan bahawa semua atlet dan negara yang layak dibenarkan menyertai acara ini dengan jaminan keselamatan mereka.
“Bagaimanapun, terdapat perubahan kepimpinan politik dan Kerajaan Malaysia yang baharu mempunyai idea berbeza. Politik dan sukan tidak pernah menjadi gabungan yang baik dan kami kecewa atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia,” katanya. - UB

Comments
Post a Comment