Sarawak, Sabah Berhak Dapat Sebahagian Daripada RM137 Bilion Cukai Dikumpul - Masing


KUCHING: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) wajib memberi Sarawak dan Sabah sebahagian daripada jumlah cukai langsung negara berjumlah RM137 bilion yang dikumpul pada tahun lalu.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing (gambar) hari ini.

Beliau berkata dua sebab kukuh Kerajaan PH wajib berbuat demikian kerana ia merupakan antara janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu dan termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kerajaan PH wajib memberi sebahagian daripada RM137.035 bilion cukai langsung yang dikumpul pada tahun 2018 kepada Sarawak dan Sabah untuk dua sebab.

"Pertama ia telah dijanjikan dalam manifesto PH pada PRU-14 lalu. Kamu (PH) sudah berjanji untuk memberikannya (sebahagian cukai dikumpul kepada Sarawak dan Sabah) dan kedua, ia termaktub di dalam MA63," ujarnya.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tidak dapat mengelak dua sebab tersebut untuk tidak membayar Sarawak dan Sabah seperti yang telah dijanjikan.

Pada 20 Januari lalu, Lim mengumumkan kutipan kasar cukai langsung oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun lalu, RM137.035 bilion iaitu meningkat 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding 2017.

Tambahnya jumlah kutipan itu mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan turut mengatasi pencapaian terbaik kutipan cukai langsung direkodkan pada 2014 iaitu RM133.700 bilion.

Namun sebelum ini Lim menerusi kenyataan akhbar berkata Sarawak berhutang kepada Kerajaan Persekutuan lebih RM2.5 bilion setakat 30 November 2018.

Kenyataan itu dikeluarkan pada awal Januari lalu selepas Sarawak menuntut bahagiannya ke atas hasil cukai pelancongan berjumlah RM2.7 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Lim turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa RM46.5juta daripada hutang itu kini tertunggak.

“Negeri Sarawak mempunyai rizab yang begitu besar, mengapa pula tidak dilangsaikan hutang kepada kerajaan persekutuan,” soal Lim. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas