BNM Buktikan Janji Guan Eng Sudah Ke Laut – Najib


Minggu lepas, saya telah guna data dari Bank Negara Malaysia untuk membuktikan perbelanjaan dan defisit kerajaan telah meningkat dengan banyak di bawah kerajaan PH.

Semalam, BNM juga telah mengumumkan kadar pertumbuhan KDNK (GDP), hutang luar negara dan hutang kerajaan bagi tahun 2018.

Sebelum PRU14, unjuran pertumbuhan KDNK negara di bawah kerajaan BN adalah 5.5% sehingga 6%.

Kadar KDNK tahun 2017 di bawah BN ialah 5.9%.

Tetapi kadar pertumbuhan telah jatuh ke 4.7% untuk 2018 di bawah PH - lebih rendah dari jangkaan BN dan jangkaan kerajaan PH sendiri apabila mereka mengambil Putrajaya dan semasa mereka mengumumkan Bajet 2019.

Kerajaan BN semasa saya PM telah menurunkan defisit negara setiap tahun untuk 8 tahun berturut-turut sehingga menjadi 3% pada tahun 2017.

Selepas menjawat Menteri Kewangan, Guan Eng pernah menjamin jumlah defisit kerajaan untuk 2018 dijangka boleh dikekalkan pada RM40.1 bilion (berbanding unjuran BN untuk RM39.8 bilion) iaitu juga pada kadar defisit 2.8%. 

Tetapi defisit kerajaan tahun 2018 akhirnya menjadi RM52.67 bilion iaitu kadar defisit 3.7% walaupun mereka telah banyak jual aset negara, jarah RM26 bilion dari Petronas dan memansuhkan pelbagai bantuan rakyat untuk tahun lepas.

Sebagai perbandingan, defisit kerajaan tahun 2017 ialah RM40.3 bilion dengan kadar 3.0%.

Akibat defisit yang jauh lebih besar itu, BNM mengumumkan hutang rasmi kerajaan telah meningkat RM54.2 bilion kepada 741.1 bilion untuk tahun 2018.

Hutang rasmi kerajaan pada tahun 2017 di bawah BN ialah RM686.8 bilion iaitu kenaikan RM38.4 bilion berbanding RM648.5 bilion pada tahun 2016.

BNM juga mengumumkan bahawa hutang luar negara telah naik ke RM924.9 bilion pada akhir tahun 2018 berbanding RM885.2 bilion untuk tahun 2017.

Secara rasmi, BNM telah mengesahkan hutang rasmi negara dan hutang luar negara telah naik dengan lebih cepat di bawah PH.

Defisit kerajaan yang menurun setiap tahun di bawah BN telah naik semula manakala kadar pertumbuhan ekonomi adalah jauh lebih rendah di bawah kerajaan PH.

Apa terjadi dengan laungan PH bahawa mereka akan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan menurunkan hutang negara?

3 bulan sebelum akhir tahun 2018, Guan Eng pernah janji bahawa PH akan tetap mengurangkan defisit fiskal kepada 2.8% dan meneruskan agenda konsolidasi fiskal tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

Akhirnya, data rasmi BNM semalam membuktikan semua jaminan dia sudah ke laut.

Jika defisit terus bertambah RM53 bilion setiap tahun seperti tahun lepas maka hutang rasmi kerajaan akan tepat-tepat pada RM1 trilion menjelang 2023 iaitu PRU15.

Maka impian PH untuk hutang RM1 trilion benar-benar akan menjadi realiti. - Najib Razak

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas