Kerajaan Sarawak Tanggung Kos Membawa Balik Tahanan


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menganggung kesemua kos membawa balik anak Sarawak yang ditahan di Penjara Provinsi Bantaey Meanchey, Kemboja.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan dalam perbincangan menyediakan kemudahan untuk membawa balik 40 anak Sarawak yang ditahan itu.

Menurut beliau, kesemua anak Sarawak itu dijangka dibawa pulang pada hari ini atau selewat-lewatnya esok (Isnin).

“Kita berterima kasih kepada Kerajaan Kemboja khasnya, kerana mereka telah membebaskan anak-anak Sarawak daripada tahanan dan mereka adalah mangsa penipuan.

“Kita juga berterima kasih kepada Wisma Putra yang bekerjasama dengan kerajaan negeri di mana kita menyelesaikan perkara ini mengikuti protokol antarabangsa, melibatkan dua kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di sini, semalam.

Bagi pihak kerajaan negeri menurut Abang Johari, apa yang penting perkara itu diselesaikan dengan patuh kepada protokol antarabangsa.

“Akhirnya kita mendapat hasil yang baik di mana kita dapat membawa balik dan membebaskan anak Sarawak dari Kemboja,” katanya.

Abang Johari berkata beliau telah memberi mandat kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak untuk mengunjungi tahanan di Kemboja sebelum ini bagi melihat kebajikan mereka di sana.

“Saya memberi mandat kepada Fatimah untuk melihat kebajikan mereka di sana dan sebelum ini sekiranya mereka dituduh di mahkamah kita akan melantik pihak guaman.

“Namun kita bersyukur mereka dibebaskan serta dibawa pulang dan kerajaan negeri akan menanggung kos membawa balik kesemua anak-anak Sarawak,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas