Pasar Raya Terkenal Tidak Serik Curi Elektrik
SIBU: Syarikat utiliti Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Syarikat SESCO Berhad melakukan serbuan terhadap sebuah rangkaian pasar raya tempatan di sini kerana dikesan melakukan aktiviti mencuri tenaga elektrik.
Menurut kenyataan medianya semalam, serbuan dilakukan terhadap dua cawangannya iaitu di Hulu Sungai Merah dan Sibu Jaya.
“Operasi eksekutif melibatkan juruteknik SESCO dan pasukan polis dijalankan selepas mendapatkan waran geledah daripada majistret.
“Laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut mengenai kedua-dua cawangan tersebut.
“Semua meter digunakan untuk kegiatan curi elektrik dihantar ke makmal meter di Kuching untuk dianalisis dan digunakan sebagai bukti di mahkamah,” kata jurucakap SESCO.
Menurut kenyataan itu, pasar raya terkenal jualan murah itu berada dalam senarai pengawasan SESCO kerana mempunyai rekod kesalahan berulang terutama di Sibu, Sarikei, Miri dan Bintulu.
Cawangannya di Bintulu didapati mencuri bekalan elektrik beberapa kali sejak beberapa tahun lalu manakala kes yang melibatkan cawangan di Sarikei berlaku pada Disember lalu.
Manakala di Sibu, ini adalah kesalahan kedua bagi kedua-dua cawangan.
SESCO membuka kertas siasatan untuk semua kesalahan dan bekerjasama dengan Unit Inspektorat Elektrik (EIU), Kementerian Utiliti dan Pejabat Peguam Negara (SAG) untuk mendakwa pemilik di mahkamah.
SESCO memperhebat usaha mengurangkan peningkatan kes kecurian elektrik terutama melibatkan premis komersil dan menggandakan pemeriksaan dan Operasi Eksekutif di seluruh negeri serta terus bekerja rapat dengan polis dan EIU.
Mereka didapati bersalah mencuri didakwa di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Tenaga Elektrik membawa denda sejumlah RM100,000 atau lima tahun penjara.
SESCO juga menasihati semua pemilik premis agar sentiasa mengawal kegiatan perniagaan penyewa mereka.
Ini bagi mengelak pemilik terlibat dalam jenayah dilakukan penyewa beroperasi di premis mereka termasuk mencuri tenaga elektrik di bawah nama pemilik premis.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada orang ramai memberi maklumat sehingga membawa serbuan terhadap pencuri elektrik terutama di premis berisiko tinggi seperti pusat perlombongan cryptocurrency,” katanya.
SESCO meminta kerjasama orang ramai terus melaporkan sebarang aktiviti kecurian elektrik menerusi talian khas 082-443535 dan semua maklumat dirahsiakan. - UB
Comments
Post a Comment