Persoalan Siapa Dalang Tipu 47 Warga Malaysia Masih Belum Terungkai


KUCHING: Siapa dalang? Ini persoalan yang masih belum terungkai berhubung kes penahanan 47 warga Malaysia di Kemboja, khususnya melibatkan 40 orang anak Sarawak.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, perkara itu diserahkan kepada polis untuk siasatan.

“Bila kami tanya, mereka jawab semuanya dari Wechat termasuk dari segi urusan tiket penerbangan, tawaran gaji dan sebagainya.

“Tarikannya adalah mereka ditawarkan gaji AS$1,000.

“Jadi mereka cakap, siapa tidak mahu tapi mereka kata tidak tahu siapa syarikat atau agensi yang membawa mereka kerana segala urusan adalah melalui Wechat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena ketibaan 43 bekas tahanan Kemboja (40 anak Sarawak dan tiga dari Sabah) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Deddy Faisal Ahmad Salleh.

Sementara itu, Wan Junaidi mengakui tahu sedikit sebanyak maklumat berkaitan, namun enggan mendedahkannya.

Katanya maklumat tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum, di mana polis akan berhubung dengan kesemua mangsa untuk siasatan terperinci.

“Dari sudut itu, polis akan siasat. Kami tidak boleh mendedahkan kepada umum,” katanya.

Fatimah, Wan Junaidi dan Deddy merupakan delegasi yang dihantar oleh Kerajaan Sarawak untuk misi membawa pulang kesemua 47 warga Malaysia yang majoritinya dari Sarawak, sejak ditahan pada 16 Disember lalu selepas dipercayai terpedaya dengan sindiket pemerdagangan manusia, yang menawarkan gaji lumayan.

Setelah kira-kira dua bulan berada dalam tahanan di Penjara Banteay Mancheay, kira-kira 446 kilometer dari Phnom Penh, mereka akhirnya dibebaskan pada 15 Februari lalu dan dibawa pulang semalam.

Seramai 40 orang dari Sarawak dan tiga dari Sabah dibawa pulang menaiki pesawat yang disewa daripada JC International Airlines, sebuah syarikat penerbangan Kemboja yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh dari Lapangan Terbang Seam Reap pada jam 12.30 tengah hari dan tiba di LTAK pada jam 3 petang.

Manakala empat orang lagi, tiga berasal dari Selangor dan seorang dari Kuala Lumpur dibawa pulang menaiki pesawat AirAsia dari Lapangan Terbang Seam Reap sekitar jam 8.30 pagi dan tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur2 (klia2) pada jam 11.35 pagi. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu