SARES Terangi 556 Isi Rumah Di 11 Rumah Panjang Di Telang Usan


KUCHING: Hampir 5,000 penduduk dari 556 isi rumah di 11 rumah panjang di Telang Usan kini menikmati bekalan elektrik 24 jam di bawah SARES atau Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak.

Menurut kenyataan medianya semalam, 11 komuniti terpencil itu merupakan sebahagian daripada 82 kampung di kawasan Baram yang dalam perancangan untuk disambung bekalan elektrik 24 jam menjelang 2020 menerusi solar atau mikro hidro di bawah SARES.

Setakat ini, 38 komuniti di Baram sudah dibekalkan dengan tenaga elektrik .

Di bawah inisiatif Transformasi Luar Bandar Negeri, SARES dilaksanakan oleh kerajaan negeri dengan matlamat untuk menyediakan bekalan elektrik kepada masyarakat paling terpencil di Sarawak menerusi model perkongsian kerajaan komuniti yang inovatif.

SARES dijangka menyediakan bekalan elektrik untuk 8,700 isi rumah di kampung terpencil menjelang 2020.

Dilancarkan 2016, program bernilai RM500 juta itu telah mempercepatkan liputan elektrik di negeri ini dengan projek yang siap untuk hampir 4,000 daripada 8,700 isi rumah.

Majlis penyerahan telah diadakan di Long Nakan semalam untuk memperingati pelaksanaan projek dan penggunaan elektrik di 11 kampung  iaitu Long Nakan, Long Sibong, Long Ikang, Long Kerangan, Long Nen, Long Sayan, Long Kesseh, Uma Bawang, Long Kawi, Ba Kabeng dan Long Itam.

Komuniti tersebut bekerjasama dengan Sarawak Energy dan kontraktornya untuk membina sistem tenaga solar bagi kampung masing-amsing  yang dipilih kerana cabaran untuk menghubungkan kepada grid.

Setiap projek melibatkan pembinaan sistem alternatif ‘standalone’ menggunakan teknologi solar dan menggantikan jentera penjana diesel yang mahal dan bising untuk memenuhi keperluan elektrik  isi rumah asas dengan pencahayaan, kipas, televisyen, peti sejuk dan periuk nasi.

Selepas didirikan, sistem itu diserahkan kepada komuniti berkenaan yang mengendali dan meyelenggarakan dengan sokongan teknikal daripada Sarawak Energy.

Menteri Utiliti, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom merasmikan acara tersebut yang turut dihadiri Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau.

“Hari ini, liputan populasi luar bandar domestik kita adalah 91 peratus.

Kerajaan menerusi Kementerian Utiliti mahu meningkatkan liputan luar bandar  di seluruh negeri kepada 97 peratus menjelang 2020 dan menyasari elektrifikasi sepenuhnya menjelang 2025.

“Kita harap untuk mencapai matlamat ini dengan peruntukan RM2.37 bilion di bawah Pelan Induk Elektrifikasi Luar Bandar yang diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg,” kata Rundi pada majlis tersebut.

Beliau menambah, melalui SARES, kita dapat memajukan misi kita utuk menjadikan bekalan elektrik di seluruh Sarawak supaya isi rumah paling terpencil dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam.

“Saya memuji masyarakat di atas kerjasama mereka serta usaha gigih dan dedikasi rakan lain yang terlibat termasuk pasukan SARES dari kementerian dan Sarawak Energy di atas pelaksanaan SARES yang berjaya di kawasan ini,” ujarnya lanjut.

Hadir sama ialah Syed Fauzi Shahab selaku Pengarah Bekalan Elektrik di Kementerian Utiliti dan wakil-wakil operasi yang relevan serta ketua masyarakat.

Mewakili Sarawak Energy ialah Dr Chen Shiun selaku Naib Presiden Elektrifikasi Luar Bandar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili berkata mengenai inisiatif itu, SARES berbeza kerana ia direka untuk digunakan secara lestari dalam jangka yang lebih panjang dan melibatkan masyarakat di peringkat perancangan hingga peringkat pelaksanaan.

“Selepas projek siap dan dilaksanakan, pasukan SARES terus menyediakan sokongan teknikal dan melatih komuniti terbabit untuk mengendali dan menyelenggara sistem tersebut.

“Pada masa depan, dengan pembangunan infrastruktur seperti jalan, rumah panjang ini akan disambung kepada grid tenaga utama tetapi buat sementara waktu, SARES membolehkan kampung yang kini terletak sangat jauh dengan grid  untuk mendapat akses kepada bekalan elektrik,” tegas beliau. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu