Tiga Pengedar Dadah Di Kawasan Betong Ditahan


KUCHING: Dua lelaki dan seorang wanita diberkas bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM16,996.50 dalam satu serbuan di sebuah rumah, Taman Goodland, Betong malam kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Sarawak Superintenden Sahar Abdul Latif berkata, dua suspek lelaki berusia 36 dan 39 tahun manakala suspek wanita berusia 24 tahun itu dipercayai menjadi pengedar dadah di kawasan tersebut sejak 2017.

“Bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pada 16 Februari sekitar jam 8 malam, pasukan JSJ Narkotik Sarawak melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Taman Goodland, Betong dan menahan dua lelaki dan seorang wanita.

“Hasil pemeriksaan di bilik tidur tingkat atas rumah tersebut, polis menjumpai 53 peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 94.11 gram, sembilan papan plastik timah berwarna merah, yang setiap satu papan mengandungi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan berat kasar 27.65gram,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Malah, Sahar memberitahu, hasil pemeriksaan badan yang dilakukan ke atas seorang suspek lelaki turut menemui satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.7gram.

“Kami juga menemui dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.5 gram pada suspek wanita semasa pemeriksaan badan dilakukan,” tambahnya.

Sehubungan itu tegasnya, ketiga-tiga suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) A.

“Saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek turut didapati positif dadah Amphetamine/Methamphetamine.

“Oleh itu, ketiga-tiga suspek turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” dedahnya.

Pada masa sama Sahar memberitahu, semakan rekod kesalahan lampau mendapati seorang suspek lelaki mempunyai empat kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) ADB 1952 manakala suspek wanita mempunyai dua kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1) akta sama.

Selain itu katanya, polis turut menyita sebuah kenderaan pacuan empat roda, tiga cincin emas masing-masing seberat 13.02 gram, 20.01 gram dan 7.75 gram yang dianggarkan keseluruhan sitaan bernilai RM127,339.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” ujarnya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Periuk kera mangkuk tandas tupai dan kelawar?

Disimbah menantu dengan air panas