Marquez pinjam semangat Rossi
LONDON: Menjelang Grand Prix Motosikal Argentina hujung minggu ini, juara dunia, Marc Marquez mengakui, dia mahu meminta sesuatu daripada legenda dunia, Valentino Rossi.
Marquez, 26, yang kini menjadi ‘budak poster’ selepas merangkul lima gelaran MotoGP mengakui, Rossi adalah idolanya dan amat mengagumi semangat tinggi serta kemampuan pelumba Itali itu memberi cabaran pada usia mencecah 40 tahun.
“Apa yang dia lakukan dalam sukan permotoran sangat luar biasa.
“Rossi masih mempunyai motivasi tinggi untuk berlumba dan memberi tentangan hebat pada usia 40 tahun. Saya mahu menjadi sepertinya apabila mencecah usia tersebut.
“Setiap pelumba berbeza tetapi apa yang dilakukan Rossi telah membuka mata kami semua,” kata pelumba Sepanyol itu kepada MCN.
Marquez yang menjadi pilihan untuk memacu Honda memenangi perlumbaan di Argentina, hujung minggu ini berkata, biarpun Rossi sudah lama tidak menjulang gelaran dunia iaitu sejak kali terakhir melakukannya pada 2009, dia tetap pencabar utama musim ini.
Rossi pernah bergelar juara dunia tujuh kali sepanjang kariernya yang gemilang, malah masih mendapat kepercayaan Yamaha untuk memburu kejuaraan kelapan.
Sementara itu, menjelang perlumbaan hujung minggu ini, penunggang Ducati, Andrea Dovizioso melaungkan keyakinan untuk meneruskan rentak cemerlang selepas memenangi Grand Prix Qatar.
Pelumba Itali berusia 31 tahun itu berkata, dia melakukan persiapan terbaik dan bersedia memberi cabaran kepada Marquez, yang muncul naib juara, dua minggu lalu.
“Kami memiliki beberapa kelebihan tetapi ketika berada di pertengahan selekoh, motosikal kami agak perlahan.
“Apa pun secara keseluruhan kami mempunyai kuasa dan pecutan yang sangat bagus. Jika tayar serta permukaan trek berpihak kepada kami, ia akan membawa banyak perbezaan,” kata Davizioso. – AGENSI
Comments
Post a Comment