Sarawak miliki lima elemen maju dalam revolusi digital


KUCHING: Sarawak mempunyai lima elemen yang membolehkannya untuk maju dalam revolusi digital, kata pakar fizik futuristik dan teori terkemuka, Dr Michio Kaku.

“Apabila saya datang ke Sarawak, saya rasa amat kagum. Imej yang masuk dalam fikiran adalah anda mempunyai ‘roket penggalak besar’ yang sedia untuk berlepas dengan segala sumbernya.

“Ia (Sarawak) mempunyai penduduk aman dan penduduk yang berpendidikan serta ingin belajar. Elemen ketiga, anda mempunyai kerajaan yang prihatin dan berfikiran jauh ke hadapan.

“Selain itu, anda mempunyai usahawan yang mempunyai kreativiti untuk memperkasakan ekonomi dan kelima, anda memiliki semangat kebangsaan yang mahu maju dalam revolusi digital pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2019 di  Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Majlis bertemakan ‘Membayangkan Masa Depan Sarawak’ itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, Dr Michio mengucapkan tahniah kepada Abang Johari dan kerajaan Sarawak kerana menganjurkan persidangan seumpama itu.

“Apa yang anda lakukan ini sudah pasti akan dapat menyediakan landasan kepada pakar untuk berkongsi dan berbincang mengenai visi untuk membawa Sarawak ke arah ekonomi digital,” katanya.

Sementara itu, semasa menjawab satu soalan daripada peserta IDECS, Dr Michio berkata latihan semula merupakan proses pembelajaran yang berterusan dan mengguna pakai teknologi.

“Apa-apa perkara yang melibatkan minda adalah kreativiti dan kerja-kerja yang dilakukan manusia.

“Robot tidak boleh mengutip sampah. Kita sebenarnya terpengaruh dengan Hollywood untuk memikirkan bahawa robot boleh melakukan apa sahaja.

“Manusia boleh melakukan apa sahaja tetapi perlu latihan. Mana-mana negara yang mahu menjadi sebahagian daripada masa depan mesti mendidik rakyat,” katanya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu