FIA, F1 dituntut mansuh kuasa veto Ferrari
MONTE CARLO: Empat bos pasukan Formula Satu (F1) hari ini bersatu hati menggesa pengelola perlumbaan itu menarik semula kuasa veto tradisi yang dimiliki Ferrari dalam usaha memajukan lagi sukan itu selaras perubahan zaman tanpa berdepan sekatan sebelah pihak.
Christian Horner dari pasukan Red Bull, Claire Williams (Williams), Zak Brown (McLaren) dan Cyril Abiteboul dari Renault menyokong supaya kuasa veto yang berdekad dimiliki Ferrari supaya dihapuskan demi kemajuan sukan itu berdepan perkembangan teknologi masa kini.
Keempat-empat bos pasukan itu menyuarakan hasrat mereka itu kepada media sejurus tamat sesi latihan bebas Grand Prix Monaco yang berlangsung di sini hujung minggu ini.
Mereka memberikan reaksi itu susulan kenyataan Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto yang mendakwa kuasa veto yang dimiliki pasukan itu sebagai sesuatu yang ‘memelihara pasukan F1 keseluruhannya.’
Horner berkata, kuasa veto itu sudah ‘lapuk’, sambil menambah ia hanya memihak dan memberi kelebihan kepada Ferrari sahaja.
"Jadi, jika boleh kita perlu peraturan sama adil untuk semua pasukan, cara ini lebih masuk akal.”
Williams, selaku Timbalan Prinsipal pasukan mengakui sudah sampai masanya sukan itu melakukan perubahan radikal dalam struktur peraturannya.
"Saya secara jujurnya mengakui ia agak mengarut. Sebenarnya saya ada masalah dengan perkara itu dan ia langsung tidak demokratik.
"Saya rasa tidak wajar hanya sebuah pasukan memiliki kuasa veto, ia memang tidak masuk akal sama sekali.”
"Saya rasa F1 dan FIA wajar memiliki kuasa mutlak mengenai peraturan perlumbaan. Selama ini kita terlalu banyak memberikan ruang kepada mereka ketika semua pihak ada agenda masing-masing.
"Kita perlu melihat hala tuju sukan ini dan memelihara masa depannya sambil menjaga DNA sebenar perlumbaan dalam sukan ini. Melakukannya secara bersama, saya rasa ia akan menjadi sukar….”
Brown pula berkata, setiap pasukan memiliki kepentingan tersendiri dan menggesa pemilik F1 bertindak sebagai pengelola tunggal mengawal selia peraturan demi kepentingan semua pasukan yang bertanding dalam sukan itu.
"Ferrari memang sudah memberi sumbangan tak terkira dalam sukan itu, tetapi penghargaan ke atas usaha itu boleh dilakukan dalam ruang yang lain,” katanya.
Horner pula berkata: "Saya difahamkan kuasa veto itu dimiliki mereka tahun demi tahun dan digunakan untuk menghentikan sebarang pindaan peraturan. Ferrari sebelum ini menggunakan enjin V12 tetapi mereka tidak pula mahu memvetonya.
“Ia mungkin di sebabkan kebanjiran pasukan Britain dalam sukan itu, tetapi ia berlaku pada era 60an dan perkara ini sudah tidak sesuai zaman ini...”
Abiteboul berkata: "Saya fikir sukan F1 perlu lebih progresif berbanding defensif dan menghalang atau membuat keputusan sebelah pihak saja mungkin tidak baik buat sukan ini.”
"Kami memang mengiktiraf secara khusus sumbangan Ferrari dalam sukan ini, tetapi ia mungkin lebih kepada pengiktirafan dari segi komersial dan bukannya dalam bentuk pentadbiran menerusi sekatan peraturan.” – AFP

Comments
Post a Comment