Masyarakat Dayak sibuk buat persiapan terakhir Gawai
KUCHING: Masyarakat Dayak sibuk melakukan persiapan terakhir menjelang perayaan Hari Gawai esok.
Tinjauan Utusan Borneo di sekitar pusat-pusat beli-belah di bandar raya ini semalam mendapati orang ramai terutama masyarakat Dayak sibuk membeli-belah keperluan terakhir.
Sena Ringgit bersama suaminya Egol Terifan dan anak mereka Eventino Eyun antara yang keluar membeli-belah keperluan akhir semalam.
“Persiapan Gawai tahun ini saya buat secara sederhana sahaja di mana pakaian anak-anak dan makanan kering seperti biskut semua telah disedia lebih awal.
“Hanya barangan basah lain yang masih perlu dibeli dan memandangkan tahun ini saya tidak balik ke Lubok Antu, maka mudah untuk saya berbelanja saat akhir,” katanya.
Sementara itu, Kelly Jurim yang ditemui semalam turut menggunakan masa terluang untuk keluar membeli keperluan akhir bersama rakannya Nurkhadijah Abdillah.
“Persiapan lain semua sudah sedia yang tinggal cuma untuk masak lemang sahaja esok (hari ini),” katanya yang balik menyambut Gawai di kampungnya di Padawan.
Dari segi sambutan pula, Kelly berkata, sambutan tahun ini agak meriah kerana serentak dengan Hari Raya.
“Selain menyambut Gawai ada juga dalam keluarga kami yang meraikan Hari Raya. Jadi tahun ini sambutan pastinya lebih meriah,” kata Kelly.
Turut sibuk membeli-belah keperluan terakhir semalam ialah Garret Dawum bersama anak buahnya, Florenzo Figo Fabian.
Garret yang berasal dari Kampung Gayu, Padawan berkata, ini merupakan kali pertama beliau menyambut Gawai bersama keluarga di kampung selepas tiga tahun tidak kembali ke kampung atas tuntutan kerja.
“Sambutan tahun ini kita buat secara sederhana sahaja, lagi pun cuti saya tidak panjang sebab memberi laluan kepada rakan-rakan yang akan menyambut Hari Raya.
“Saya sendiri pun sudah tiga tahun tidak balik Gawai dan tahun ini saya berpeluang menyambut Gawai bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain,” katanya. - UB
Comments
Post a Comment