Motosikal bergesel dengan lori, lelaki maut digilis


SIBU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya berlanggar dengan sebuah lori tangki di Jalan Wong King Huo di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superintenden Martin Koo berkata, mangsa dikenali sebagai Charles Ngu Ming Jian, 51, dan berasal dari Bintangor.

Katanya, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di laluan menghala ke bulatan di jalan terbabit.

“Motosikal ditunggangi mangsa telah bergesel dengan lori tersebut sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan.

“Akibat kemalangan tersebut mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian, “ katanya dalam satu kenyataan semalam.

Martin memberitahu, mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut, manakala pemandu lori telah ditahan dan diambil ujian darah.

Katanya, pemandu lori yang berasal dari Saratok itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis.

Dalam insiden berasingan, seorang wanita cedera parah, manakala lima lagi termasuk seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Lanang, tengah malam kelmarin.

Pemangku Ketua Bomba Zon 4 Sibu Wan Kamaruddin Wan Ahmad berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua kereta dan sebuah motosikal.

Wan Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.24 tengah malam.

“Kemalangan melibatkan dua kenderaan dan sebuah motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Lanang, di sini.

“Kenderaan pertama dinaiki dua lelaki dan seorang perempuan, manakala kereta kedua dipandu seorang perempuan bersama seorang kanak-kanak perempuan.

“Bagaimanapun kesemua mereka hanya mengalami cedera ringan manakala penunggang motosikal yang merupakan seorang wanita cedera parah,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Wan Kamaruddin, kesemua mangsa telah dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dikejarkan ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, pasukan bomba membuat kerja-kerja pembersihan tumpahan minyak dan serpihan akibat kemalangan dan operasi tersebut ditamatkan pada jam 1.38 pagi. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu