Pemandu Grab diserang


KUCHING: Seorang pemandu Grab cedera akibat ditembak penumpangnya dipercayai warga Indonesia di Jalan FAC Matang, dekat sini petang semalam.

Menurut sumber, mangsa, 46, berasal dari Sekama menjemput suspek di Kuching Sentral sebelum meminta dihantar ke sebuah ladang strawberi di Matang.

“Setibanya di lokasi kejadian (Jalan FAC Matang), suspek meminta mangsa memberhentikan keretanya di tepi jalan dengan alasan ingin membuang air kecil.

“Bagaimanapun, suspek dikatakan tiba-tiba mengacu senjata dipercayai senapang angin buatan sendiri lalu melepaskan tembakan peluru guli ke arah mangsa sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan,” kata sumber.

Suspek yang masih tidak berpuas hati dipercayai turut menyerang mangsa menggunakan senjata dipercayai tukul.

“Selepas peluru (guli) senapangnya habis, suspek dipercayai bertindak memukul mangsa di kepala sebelum melarikan diri dari tempat kejadian,” kata sumber.

Motif suspek yang menggunakan nama ‘M Chen Chen’ dalam aplikasi Grab itu dipercayai ingin melarikan kereta mangsa, namun tidak berjaya.

“Tiada barang-barang milik mangsa dilarikan suspek,” kata sumber lagi.

Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Denis Leong semasa dihubungi semalam memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan.

“Pasukan saya sekarang masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan maklumat lanjut daripada mangsa,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kita difahamkan suspek melarikan diri ke kawasan hutan berdekatan dan usaha menjejakinya sedang giat dijalankan,” kata Denis. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu