Sarawak tuai tenaga hijau daripada kekayaan sumber air


LIMBANG: Sarawak giat mengkaji sumber tenaga baharu dengan membangunkan pengeluaran hidrogen di negeri ini kerana mempunyai potensi besar berdasarkan kekayaan sumber airnya.

Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail berkata, justeru ke arah itu Sarawak akan meneruskan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) membabitkan pengeluaran hidrogen bagi mencari sumber tenaga baharu.

Jelas beliau, Sarawak turut memperkenalkan bas hidrogen yang akan digunakan sebagai projek perintis sebagai demonstrasi keupayaan teknologi bahan api hidrogen bagi kenderaan pengangkutan awam di negeri ini.

“Sarawak ada agenda tenaga hijau dengan menerokai lambakan sumber air di negeri ini untuk mengeluarkan tenaga yang bersih, murah dan mesra kepada alam sekitar dengan membangunkan tenaga hidrogen,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya anjuran PERKIM di Masjid Baitul Iman Limbang di sini, semalam.

Turut sama ialah isteri Dr Abdul Rahman yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Dayang Maimunah Awang Mohd Daud, Pengerusi Persatuan Melayu Limbang (PML) Mohamad Abu Bakar, Penghulu Abu Tinggal dan Penghulu Jamil Abu Bakar.

Jelas ADUN Bukit Kota itu, tenaga hidrogen terhasil dengan menggunakan teknologi memisahkan dua molekul hidrogen dengan satu molekul oksigen dari air.

Kata beliau, Sarawak sebelum ini menyasarkan tenaga berkenaan menyumbang kepada sumber pendapatan baharu bagi mengelak kebergantungan kepada eksport bahan bakar fosil.

Pada majlis itu katanya PERKIM Cawangan Limbang terus menggiatkan usaha menghulurkan sedekah amal jariah kepada mereka yang memerlukan sejajar dengan tuntutan agama Islam.

Menurutnya, amalah bersedekah amat dituntut dalam Islam kerana diberikan ganjaran pahala berlipat ganda.

“Bulan Ramadan Al Mubarak ini PERKIM Limbang memperbanyakkan amalan bersedekah membantu mereka yang memerlukan sejajar ajaran Islam,”katanya lagi.

Terdahulu Dayang Maimunah berkata, PERKIM akan meneruskan program dan usaha untuk menyantuni golongan anak yatim dan asnaf dengan  menghulurkan bantuan sedekah di Limbang.

Beliau memberitahu, seawal Ramadan pihaknya melalui Jawatankuasa  Kebajikan PERKIM berjaya mengumpul sejumlah RM7,500 derma untuk diserahkan kepada anak yatim dan golongan asnaf agar mereka turut merasai kemeriahan berhari raya.

Pada majlis itu, seramai 89 penerima terdiri daripada anak yatim, golongan asnaf, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal dan sebagainya menerima sumbangan raya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu