Tiga remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di Nanga Tutus
SIBU: Suasana hiba menyelubungi penduduk Rumah Augustine Meringai apabila tiga remaja dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai Nanga Tutus, Igan dekat sini, semalam.
Pemangku Ketua Bomba Zon 4 Sibu PgKB II Wan Kamaruddin Wan Ahmad semalam memberitahu, sepasukan 10 anggota dari BBP Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian menggunakan bot dan darat selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 petang semalam.
Katanya, Ketua Operasi PBK II Mclean C Madis memaklumkan terdapat tiga mangsa termasuk dua perempuan dikhuatiri lemas ketika mandi-manda di sungai berkenaan.
“Tiga mangsa tersebut berumur antara 12 dan 14 tahun merupakan dua adik-beradik dan seorang sepupu dikatakan sedang mandi-manda apabila tragedi itu berlaku,” katanya ketika dihubungi semalam.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dikenali sebagai Teerince Gong Tommy, 14, Trisha Janggok Tommy, 12, dan Nurul Syahiera Salam, 13.
Menurut beliau, usaha operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan sehingga pagi ini selepas ketiga-tiga mangsa gagal ditemui petang semalam.
Menurut rakan Tommy, bapa Teerince, kali terakhir dia melihat anaknya semasa hendak pergi ke bandar sekitar jam 1.30 petang.
“Trance sempat menukar profil gambar WhatsAppnya sebelum meminjamkan telefon bimbitnya kepada ayahnya kerana telefon bimbit ayahnya rosak.
“Dia (Trance) sempat memberitahu ayahnya bahawa dia menukar gambar profilnya agar ayahnya boleh melihat wajahnya dalam telefon bimbitnya,” katanya lanjut.
Operasi SAR ditangguhkan lebih kurang jam 7 malam tadi dan akan diteruskan pagi ini. - UB
Comments
Post a Comment