Jamilah sentiasa prihatin masalah air di Tanjong Datu


KUCHING: Masalah air merupakan masalah utama dihadapi penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu berkata, isu berkenaan sentiasa menjadi perhatian beliau dalam membantu rakyat di konstituensinya.

“Saya sangat mengambil berat dalam hal ini dan kerana itu, saya sentiasa berhubung dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar dan Pusat Khidmat DUN Tanjong Datu untuk menghantar bekalan air termasuk air mineral ke seluruh kawasan yang terjejas.

“Saya harap usaha ini sedikit sebanyak dapat membantu penduduk menyelesaikannya dalam masa yang singkat,” ujarnya ketika menghadiri majlis Ramah-Tamah Aidilfitri di Kampung Stunggang Melayu Lama dan Stunggang Melayu Baru di sini, baru-baru ini.

Bercakap mengenai majlis itu, Jamilah menjelaskan beliau berusaha memenuhi setiap jemputan yang diterimanya sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Saya gembira apabila dapat bersama seperti ini dan berkongsi serba sedikit rezeki Hari Raya Aidilfitri bersama anak-anak kita.

“Bukan hanya Hari Raya tetapi Gawai juga saya cuba untuk memenuhi setiap undangan dan program yang diadakan oleh penduduk seempat,” ujarnya.

Sebagai ADUN Tanjong Datu katanya, adalah menjadi amanah untuk beliau mendengar setiap masalah rakyat dan mencuba yang terbaik untuk kawasan tersebut.

“Sokongan anda semua ketika memilih saya amat saya hargai hingga menjadikan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) saya adalah yang terbaik di Malaysia,” tambahnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan Dewan Masyarakat Kampung Stunggang Melayu Baru dengan kos RM500,000 akan siap dalam jangka masa tiga bulan.

Hadir sama, Pegawai Daerah Lundu Gustian Durani, Pemanca Ibrahim Bentan, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Tanjong Datu Azizul Annuar Pehin Sri Adenan dan Ketua Wanita PBB Tanjong Datu Kaunselor Fatimah Abdullah dan ketua-ketua masyarakat. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Is Project 1408 the 2017 Ducati 1299 Superleggera?