Jangan biar orang luar kaut hasil negeri Sarawak: Talib
BINTULU: Penduduk di Bintulu dan kawasan persekitarannya perlu mempertahankan bahagian ini termasuk Sarawak di bawah pentadbiran kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedia ada dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang supaya negeri ini tidak jatuh ke tangan pihak luar yang mempunyai niat untuk mengaut hasil mahsul dan sumber yang banyak di sini terutama minyak dan gasnya.
Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Datuk Talib Zulpilip berkata, bukan senang untuk sumber minyak dan gas diperolehi di sini yang bukan boleh ditanam tetapi sumber itu wujud berjuta-juta tahun.
Begitupun katanya, ada orang luar yang datang ke sini tiada niat baik melainkan untuk mengaut hasil minyak dan gas Bintulu kerana mereka tahu minyak dan gas banyak di sini.
“Jangan dibiarkan orang luar yang ingin mengambil gas dan tanah kita,” ujarnya berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Gawai Dayak dan Ramah-Tamah Aidilfitri serta pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Dewan Undangan Negeri(DUN) Jepak di Taman Riadah Jepak malam kelmarin.
Apabila pihak luar datang katanya, habis hasil mahsul kita diambil sebab itu penduduk Sarawak tidak harus membiarkan mereka bertapak di sini dan menyasarkan kawasan kita.
Katanya, dalam akhbar melaporkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng memperkata kita hendak bankrap(untuk tempoh tiga tahun akan datang, ia merupakan pembohongan.
“Semasa mula-mula saya menyandang jawatan setiausaha tetap sebuah kementerian (beberapa tahun lepas), saya ada melihat ketua menteri(Abang Johari Tun Openg ketika itu sebagai menteri berkaitan)tidak ada tindakannya yang membuang duit.
“Justeru di bawah kepimpinan beliau, kita yakin (negeri ini)tidak akan bankrap.
“Yang kita tahu Sarawak mempunyai rizab RM30 bilion dan duit(rizab) Pulau Pinang pula dalam lebih RM1 bilion, siapa dahulu bankrap, kita ke atau mereka?” soal Talib.
Disebabkan itu katanya, mereka (pembangkang) datang ke sini mengatakan pelbagai perkara yang kurang baik.
Dalam hal itu Talib menasihati rakyat agar tidak mendengar hasutan pihak pembangkang dari luar, sekali gus rakyat kawasan ini perlu mempertahankan negeri ini untuk GPS.
“Pertahankan kawasan ini, biar GPS terus berkhidmat untuk negeri Sarawak, membangun Sarawak dan memperjuang hak-hak Sarawak pada masa sekarang dan masa depan,” katanya.
Berhubung perpaduan yang wujud antara masyarakat pelbagai kaum di sini katanya, budaya dan amalan meraikan perayaan bersama terbukti sudah menjadi amalan penduduk di Jepak, Bintulu dan Sarawak amnya dalam kehidupan yang penuh harmoni pada zaman nenek moyang hingga kini.
“Banyak bangsa dari dahulu terus bersatu, tidak pernah bergaduh dan hidup bersama-sama penuh harmoni pada zaman nenek moyang sehingga menjadi satu cara hidup,” katanya.
Berikutan itu katanya, tindakan orang luar yang menghasut untuk bergaduh perlu dicegah dan tidak harus dibiarkan kerana ia akan merugikan dan tidak membawa faedah kepada penduduk sendiri terutama semasa pilihan raya akan datang.
“Mereka datang ke sini selepas menyuruh kita bergaduh dan selepas (berakhir pilihan raya) mereka akan balik semula ke tempat asal, akhirnya kita juga yang akan rugi,” katanya. - UB
Comments
Post a Comment