Kenyataan Media Dato’ Sri Fadillah Yusof, Ketua Whip GPS,
1. Dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, bahawa Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun jika terus dibawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan sahaja tidak berasas sama sekali, malah membuktikan betapa Pakatan Harapan khususnya DAP sudah terdesak untuk terus menipu rakyat Sarawak.
2. DAP sanggup melakukan apa sahaja termasuk menuduh Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun lagi, kononnya atas kiraan Matematik mudah beliau dengan perbelanjaan tahunan sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan kering dalam masa 3 tahun.
3. Adakah Menteri Kewangan sesebuah negara tak faham bahawa jika ada perbelanjaan negeri, kita juga ada hasil untuk menanggung perbelanjaan itu?
4. Bajet 2019 Sarawak adalah satu bajet SURPLUS atau bajet LEBIHAN sebanyak RM122 juta.
5. Dalam maksud lain, hasil yang diperolehi oleh kerajaan Sarawak untuk tahun 2019 adalah RM122 juta lebih tinggi dari perbelanjaan yang dicadangkan dalam bajet.
6. Ini juga bermaksud., rizab Sarawak dijangka bertambah sebanyak RM122 juta pada akhir tahun 2019 dan bukan mengurang RM11 bilion seperti yang diheboh-hebohkan Guan Eng.
7. Jika begitulah caranya seorang Menteri Kewangan membuat kiraan dan analisa kewangan sesebuah negeri, maka tidak hairanlah keadaan ekonomi negara ketika ini semakin merudum dan nilai ringgit semakin susut, dibawah jagaan beliau.
8. Guan Eng menggambarkan seolah-olah Kerajaan GPS cuma berbelanja tanpa memikirkan bahawa Sarawak juga menjana pendapatan setiap tahun daripada kekayaan sumber semulajadi termasuk minyak dan gas. Malah Sarawak juga sudah menjana pendapatan tambahan baharu melalui pelaksanaan cukai jualan 5 peratus terhadap produk minyak dan gas yang dikuatkuasakan 1 Januari 2019.
9. RAM Rating Services Bhd turut mengiktiraf pendekatan Kerajaan GPS Sarawak dengan menyifatkan Belanjawan 2019 Sarawak sebagai menangani keperluan pembangunan utama negeri yang menyokong usaha untuk mengecilkan jurang sosio ekonomi antara Sarawak dan negeri-negeri di bahagian Barat Semenanjung Malaysia.
Sebanyak 67% dari bajet 2019 Sarawak akan diagihkan untuk projek pembangunan yang akan mendokong perkembangan ekonomi Sarawak pada tahun-tahun yang akan datang.
10. Menurut Ketua Penarafan Negara RAM Rating Services Bhd, Esther Lai, cukai jualan negeri sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas produk petroleum bermula 2019, akan dapat meningkatkan asas hasil kerajaan bagi memenuhi komitmen perbelanjaan yang diperbesarkan di samping mengekalkan kemampanan fiskal dan penampan rizab yang kukuh.
11. Sebagai Menteri Kewangan, Guan Eng sepatutnya membawa berita gembira apabila melawat Sarawak dengan membawa ole-ole projek untuk Sarawak, bukannya mengeluarkan kenyataan yang dan merendah-rendahkan dan menakut-nakutkan rakyat Sarawak.Kenyataan beliau sebagai seorang Menteri Kewangan juga amat tidak bertanggungjawab, kerana boleh menjejas keyakinan pelabur.
12. Sarawak juga mengingatkan Guan Eng untuk serta-merta menepati janji beliau sebelum PRU14 untuk memulangkan 20% dari hasi minyak Sarawak sebagai Royalti dan memulangkan 50% dari hasil cukai kepada negeri Sarawak.
22 Jun 2019
Comments
Post a Comment