Firma antarabangsa meyakini pengurusan ekonomi Sarawak


KUCHING: Pembukaan pejabat PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia yang ketujuh di sini menunjukkan firma antarabangsa itu yakin dengan pengurusan ekonomi Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebagai sebuah firma perakaunan profesional dan diperakui dunia, PwC tahu Sarawak mengurus perbelanjaannya dengan baik.

“PwC membuka pejabat di sini di Sarawak dan Kuching khasnya menunjukkan keyakinan mereka terhadap keadaan dan pengurusan ekonomi Sarawak.

“Sebagai firma perakaunan profesional PwC  tahu kita mempunyai perbelanjaan yang diurus dengan baik,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Pejabat PwC Malaysia di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing, Pengerusi Eksekutif PwC Malaysia Datuk Mohammad Faiz Azmi dan Rakan Pengurusan PwC Malaysia Sridharan (Sri) Nair.

Pembukaan pejabat baharu PwC itu yang terletak di Tingkat 2, Bangunan STA di sini merupakan cawangannya ketujuh di Malaysia dan dalam usaha firma itu memperluaskan operasinya ke Malaysia Timur.

Abang Johari berkata Sarawak kini dalam proses mentransformasikan sektor ekonominya daripada ekonomi konvensional kepada ekonomi digital.

Ini bermakna katanya, Sarawak memerlukan teknologi terkini untuk mengurus dan mendapat hasil semaksimum mungkin daripada sumber-sumber semula jadi yang terdapat di negeri ini.

“Saya percaya PcW di Sarawak akan memberi khidmat nasihat kepada kita (kerajaan negeri) mengenai trend ekonomi dunia dan bagaimana kita dapat meletakkan Sarawak dalam dunia yang sentiasa berubah terutama dari segi teknologi,” katanya.

Abang Johari amat berharap PwC akan memberi khidmat nasihat dan panduan bagaimana mengikut trend semasa ekonomi dunia serta meletakkan Sarawak di kedudukan terbaik dalam ekonomi global yang kian mencabar. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Is Project 1408 the 2017 Ducati 1299 Superleggera?