Mayat penyelam ditemui tersangkut di dasar laut
MIRI: Penyelam berusia 41 tahun yang hilang ketika mengikuti aktiviti menyelam di laut, kira-kira 4.5 batu nautika di barat laut Miri petang kelmarin ditemui lemas dan masih tersangkut di dasar laut sekitar jam 10.50 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Md Fauzi Othman ketika ditemui di jeti Marina Bay di sini semalam memberitahu, mayat Sim How Hua dijumpai tersangkut pada terumbu karang di dasar laut dan lokasi terakhir mangsa dilihat melakukan penyelaman.
Mayat mangsa ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat tersebut.
“Mayat mangsa ditemui tersangkut pada batu karang di dasar laut ketika ditemui empat penyelam bomba (PPDA),” katanya sambil menambah, mangsa melakukan aktiviti menyelam di kawasan terbabit bersama seorang rakan.
“Sebelum kejadian mangsa melakukan selaman bersama rakannya namun rakannya naik (ke permukaan air) terlebih dahulu kerana hampir kehabisan oksigen tetapi mangsa masih berada di bawah (dasar laut).
“Bagaimanapun, setelah mangsa tidak naik ke atas dalam tempoh yang agak lama rakannya kemudian membuat laporan untuk mendapatkan bantuan APMM kerana dia sudah kehabisan oksigen untuk menyelam ke dasar semula (bagi mencari rakannya),” katanya sambil memberitahu bahawa laporan pertama diterima jam 4.40 petang kelmarin (Ahad).
Tambahnya, mangsa masih lengkap dengan peralatan menyelam ketika ditemui termasuk pisau khas untuk menyelam masih berada di tempatnya dan tidak terusik.
Fauzi memberitahu pihaknya mengambil masa sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersangkut dan membawanya naik ke permukaan air.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Marina Bay oleh Unit Maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) selepas ditemui jam 10.50 pagi tadi (semalam) untuk dibawa ke Hospital Miri.
Selain APMM dan JBPM, operasi turut disertai pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang keseluruhannya melibatkan 41 anggota.
Operasi SAR diaktifkan oleh APMM jam 9.40 malam pada Ahad lalu dan ditamatkan dengan penemuan mayat mangsa pagi semalam.
Sementara itu, Senator Alan Ling yang berada di Marina Bay turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyifatkan ia sebagai satu tragedi yang wajar diambil iktibar oleh semua pihak khususnya penyelam.
“Kita berharap lebih banyak kursus dan pendedahan berkaitan dengan aktiviti menyelam dapat dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran kalangan masyarakat khususnya yang terbabit dengan aktiviti menyelam,” katanya. - UB
Comments
Post a Comment