Peruntukan lebih besar untuk Belanjawan 2020
KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan peruntukan yang lebih besar untuk Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan pada hujung tahun ini.
Berucap pada Majlis Sambutan Gawai Raya Yayasan Sarawak 2019 di Dewan Jamilah, Wisma Adenan Yayasan Sarawak di sini semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata masih terlalu awal untuk beliau mendedahkan jumlahnya sekarang.
“Jangan risau kita tidak akan bankrap kerana perbelanjaan kewangan kita sangat kukuh dan kuat.
“Dan saya perlu mencari lebih banyak aliran pendapatan dan percayalah, saya ada beberapa cara untuk mendapatkan lebih banyak pendapatan untuk Sarawak,” katanya.
Pada majlis itu, Abang Johari yang juga pengerusi Yayasan Sarawak turut melancarkan Sistem Pengurusan Bantuan Komuniti Yayasan Sarawak (YSCAMS).
YSCAMS yang dilancarkan semalam adalah sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Abang Johari kepada para anak Sarawak yang menuntut di luar Sarawak.
“Dulu bantuan seperti ini tidak ada tetapi kerana kita ada sumber kewangan jadi kita kongsikan dengan pelajar kita.
“Setidaknya bantuan subsidi tiket penerbangan RM300 yang dibayar dua kali setahun ini dapat meringankan beban mereka untuk kembali menyambut perayaan bersama keluarga,” ujarnya.
Pada majlis itu, Abang Johari turut memberi penghargaan kepada Yayasan Sarawak yang telah banyak memainkan peranannya khusus dari sudut pembangunan pendidikan.
“Hari ini fungsi Yayasan Sarawak semakin bertambah dan sebab itu dari tahun ke tahun Kerajaan Sarawak telah menambah dana kepada Yayasan Sarawak supaya dapat memberi sumbangan ke arah pembangunan masyarakat selain biasiswa dan pinjaman,” katanya.
Sementara itu Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang berkata YSCAMS adalah sistem yang diwujudkan sebagai platform khusus untuk mengurus dan memproses permohonan secara atas talian, kelulusan dan pembayaran untuk bantuan-bantuan selain biasiswa dan pinjaman pendidikan.
Dengan adanya sistem ini, pengurusan bantuan-bantuan ini akan menjadi lebih cekap dengan urus tadbir yang lebih mantap.
“Hari ini Yayasan Sarawak memperkenalkan satu lagi modul di bawah YSCAMS ini iaitu i-GPS untuk skim inisiatif Gabungan Pelajar Sarawak.
“Setakat ini seramai 4,000 pelajar di luar Sarawak telah menikmati inisiatif ini dengan perbelanjaan setakat ini berjumlah RM1.2 juta,” katanya.
Turut hadir isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Pengerusi Yayasan Sarawak Datu Abu Bakar Marzuki, Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof dan ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman. - UB
Comments
Post a Comment