Tiga sekeluarga nyaris maut, kereta bertembung 4WD di Bau
BAU: Sepasang suami isteri bersama bayi mereka nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Sungai Nurin, Bogak, di sini hari ini
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata seramai 12 anggota diketuai Kadrie Bogol dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 11.37 pagi bagi menghulurkan bantuan.
“Setiba di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta dan 4WD yang mengakibatkan pemandu kereta tersepit dan cedera di bahagian kaki.
“Pasukan bomba kemudian bertindak membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, isteri mangsa bersama bayi mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam.
“Manakala pemandu dan penumpang 4WD dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Pasangan terbabit bersama bayi mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan. - UB
Comments
Post a Comment