SCV berwajah baharu, sedia terima pengunjung RWMF 2019


SANTUBONG: Kampung Budaya Sarawak (SCV) kini berwajah baharu dan sedia untuk menerima kedatangan pengunjung ke Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2019 hujung minggu ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kerja menaik taraf fasiliti dan struktur bangunan di SCV telah dibuat menerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

“Kerajaan negeri memperuntukkan RM13 juta untuk naik taraf tempat ini selepas sekian lama tidak dinaik taraf.

“Hari ini (semalam) saya datang untuk melihat dan terima kasih kepada SEDC yang telah mempercepatkan kerja-kerja menaik taraf termasuk fasiliti di lapangan tapak RWMF,” ujarnya ketika ditemui di SCV semalam.

Berhubung sambungan perkhidmatan Internet tanpa wayar di SCV yang disediakan untuk pengunjung RWMF, Abdul Karim berkata ia telah ditambah baik tahun ini oleh SACOFA.

“Saya telah menjanjikan sambungan Internet yang lebih pantas kepada media antarabangsa pada RWMF tahun ini dan berharap tidak ada gangguan nanti apabila ribuan pengunjung datang ke festival ini,” ujarnya.

Abdul Karim turut percaya pengalaman 22 tahun penganjuran RWMF tidak akan menjadi masalah kepada SCV untuk menerima ribuan pengunjung pada festival ini nanti.

Perkara lain yang diperkenalkan pada RWMF dari 12 hingga 14 Julai ini ialah penganjur turut menyediakan penapis air untuk pengunjung bagi mengurangkan penggunaan botol plastik.

Pengunjung turut digalak untuk membawa bekas botol air sendiri atau membeli di festival sebagai kenangan. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu