Seorang maut, seorang parah


SIBU: Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah apabila motosikal mereka terlanggar bahagian belakang treler mengangkut sawit di Kilometer (KM) 80 Jalan Sibu-Bintulu di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pihak Klinik Kesihatan Selangau.

Penunggang motosikal dikenali sebagai Thomas Liam, 22, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemboncengnya Augustine Roy Bagau, 20-an, dikejarkan ke Hospital Sibu.

Dalam kejadian jam 3.50 pagi itu, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Rumah Imu, Sungai Sepiring di KM60, Jalan Sibu-Bintulu Selangau.

“Hasil pemeriksaan pihak polis mendapati motosikal mereka telah melanggar sebuah treler yang diparkir di kiri jalan menuju ke arah Bintulu,” kata Jimmy dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal maut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala pemboncengnya kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sibu.

“Saya telah dimaklumkan pihak Hospital Sibu bahawa Augustine masih dalam dewan pembedahan dan keadaannya kritikal,” katanya.

Difahamkan katanya, kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar ketika kejadian.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. - UB

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu