Stanley nafi dakwaan Alice Lau mengenai perjudian di Sibu
SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu Stanley Jonathan Ringgit menafikan dakwaan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau di Dewan Rakyat bahawa kegiatan perjudian dalam talian berleluasa di bandar ini.
Malah katanya, dakwaan wakil rakyat tersebut bahawa mesin kuda di Sibu masih wujud adalah tidak benar.
“Saya menafikan dakwaan tersebut kerana mesin kuda sudah tidak wujud lagi di Sibu malah dalam statistik Sarawak, Sibu menunjukkan kejayaan (menangani perjudian tanpa lesen) yang paling tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Berdasarkan statistik Sa-rawak terhadap serbuan dan tangkapan Loteri Awam 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 sejak Januari hingga Jun 2019, katanya, Sibu merupakan daerah yang paling aktif dan berjaya mengekang kes perjudian.
Katanya, pihaknya telah menjalankan usaha pembanterasan aktiviti perjudian secara berterusan di mana sebanyak 111 serbuan telah dilakukan dalam tempoh itu berbanding 66 serbuan pada 2018.
Daripada jumlah serbuan itu, 120 suspek berjaya ditangkap berbanding 52 orang dalam tempoh sama tahun lepas.
Katanya, polis juga telah berjaya merampas wang meja berjumlah RM46,254 dalam serbuan yang dilakukan berbanding RM9,064 dalam tempoh sama tahun lepas.
Mengenai dakwaan Alice bahawa ada kemungkinan besar pegawai polis berpakat dengan sindiket perjudian di Sibu, Stanley berkata, jika ada maklumat sila salurkan kepada polis.
“Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap pegawai dan anggota saya jika mereka terlibat dengan sindiket ini, jika ada,” tegas beliau.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PDRM akan terus melakukan tindakan penguatkuasaan untuk membanteras sindiket perjudian tidak berlesen.
Menjawab, soalan Ahli Parlimen Lanang mengenai dakwaan polis berpakat dengan sindiket perjudian di Sibu, Muhyiddin berkata jika dakwaan itu benar ia adalah sesuatu yang serius.
“Saya sendiri tidak akan mengizinkan hal itu berlaku.
“Kita tidak akan melindu-ngi mereka dan tindakan tegas bakal diambil kepada sesiapa terbabit sekiranya ada bukti yang benar,” katanya. - UB
Comments
Post a Comment