Tiga beranak tersesat hampir satu jam di Taman Tumbina Bintulu
BINTULU: Seorang wanita dan dua anak lelakinya ditemui selamat setelah tersesat hampir satu jam di kawasan hutan Jungle Trekking Taman Tumbina Bintulu sekitar jam 10.20 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohamad Meramit, dalam satu kenyataan media berkata, pihak bomba telah menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 9.47 pagi sebelum mengerahkan empat anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 Winston Tan bagi memulakan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa.
“Sejurus sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba dengan bantuan pasukan polis telah memulakan kerja-kerja mencari tiga mangsa yang tersesat di kawasan hutan rekreasi itu,” ujarnya.
Setelah hampir setengah jam mencari, kesemua mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat sekitar jam 10.20 pagi di kawasan dua kilometer masuk ke dalam hutan rekreasi terbabit.
Mujurlah katanya, Tan Piaw Hua, 36 dan dua anak lelakinya yang berumur tujuh dan sembilan tahun ditemui dalam keadaan selamat.
Adalah difahamkan sebelum itu, Tan sendiri telah menghubungi talian kecemasan bagi mendapatkan bantuan daripada pasukan mencari dan menyelamat.
“Ketiga-tiga anak beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma berada dalam keadaan agak lemah dan panik kerana gagal menemui jalan pulang,” ujarnya.
Kesemua mangsa kemudiannya dibenarkan balik ke rumah mereka setelah dipastikan selamat dan tidak cedera. - UB
Comments
Post a Comment