Lebih 63,000 Unit Dijual Bagi 2019, Benelli Atasi Penjualan Ducati


Meskipun tidak semegah jenama motosikal Itali lain seperti Ducati dan Aprilia namun Benelli berjaya merekodkan penjualan lebih 63,000 unit bagi tahun 2019.

Siapa sangka jenama yang suatu ketika dulu menghasilkan senapang patah, kini berjaya merekodkan penjualan lebih tinggi berbanding Ducati bagi 2019.

Meskipun DNA Itali semakin pudar – setelah dimiliki Qianjiang Motorcycle – angka penjualan terbabit membuktikan orang ramai tidak peduli dengan senario tersebut.

Malah, jumlah penjualan tersebut turut meningkat berbanding 59,750 pada 2018.

Kos pengeluaran yang rendah – susulan dikilangkan di China – sekaligus membawa kepada harga mampu milik termasuk rekaan jentera moden membolehkan Benelli semakin mendapat perhatian ramai.

Menariknya, langkah ini juga kini diekori pengeluar lain antaranya KTM, Triumph dan kini Harley Davidson yang bekerjasama dengan Qianjiang Motorcycle dalam menghasilkan jentera yang lebih kecil.

Bagaimanapun, tidak dinafikan, Benelli merupakan pengeluar motosikal Eropah pertama yang mengambil langkah berani ini.

Pembukaan kilang di India – pasaran motosikal terbesar dunia – juga dilihat akan terus memacu penjualan Benelli bermula dengan Benelli 302S yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Bagi tahun 2020, Benelli dijangka akan memperkenalkan Leoncino Trail 800 selepas diperkenalkan kepada dunia di EICMA, November tahun lalu.

Segmen 500cc turut rancak di Malaysia tatkala Benelli menawarkan dua model menarik, TRK 502 dan Leoncino 500 – kedua dua model ini juga ditawarkan dalam versi 250cc. - MM

Comments

Popular posts from this blog

Enggan Ikut Tradisi, Jurutera Sambut Konvokesyen Di Litar Sepang!

Yamaha Crossplane Cranshaft

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu