2 Kes JE Dilaporkan Di Pulau Pinang



GEORGETOWN: Dua kes Japanese Encephalitis (JE) dilaporkan di Pulau Pinang yang dikenal pasti berlaku di lokaliti Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS).

Menurut Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) dalam satu kenyataan, semua fasiliti kesihatan mengambil langkah berwaspada dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam pengesanan kes baharu JE, terutama daripada lokaliti Sungai Bakap serta daerah SPS amnya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan maklumat terperinci berhubung dua kes berkenaan.

"Kes terakhir penyakit bawaan nyamuk ini dilaporkan di Pulau Pinang ialah pada 2018.

"Kemudahan kesihatan akan melaporkan segera kes disyaki kepada Pejabat Kesihatan Daerah bagi membolehkan aktiviti kawalan dilaksanakan secepat mungkin bagi membendung penularan penyakit itu," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah SPS juga melaksanakan pengesanan kes secara aktif dengan melakukan kunjungan ke rumah di sekitar lokaliti terbabit dan mengenal pasti jika ada individu mengalami simptom seperti demam, sakit kepala, tanda meningisme, pengsan, disorientasi, koma, gegaran anggota, lumpuh, kekejangan otot dan kehilangan koordinasi, bermula 12 Mei lalu.

Selain itu, katanya, kegiatan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, semburan larvasiding serta semburan kabus juga akan dilaksanakan di lokaliti berkenaan bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit dengan membunuh jentik-jentik dan nyamuk dewasa.

JKNPP sekali gus menasihati orang ramai supaya mengambil langkah menghentikan penularan penyakit JE, antara lain melakukan pemeriksaan dalam rumah serta kawasan sekitar bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

Orang ramai juga diminta bekerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan membuat pemeriksaan dan menjalankan semburan kabus di dalam rumah, selain mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan simptom penyakit JE.

Penyakit JE adalah disebabkan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Culex daripada khinzir telah dijangkiti kepada manusia, namun transmisi virus itu tidak boleh berlaku daripada individu dijangkiti kepada manusia lain. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu