Bubar Parlimen Hanya Pandangan Peribadi Tok Mat - Annuar Musa

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melihat pameran selepas merasmikan Pameran Kartun Kartunis vs COVID-19 di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan hanya bersifat pandangan peribadi, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata, UMNO juga sehingga kini tidak membuat sebarang perbincangan mengenai gesaan pembubaran Parlimen, sebaliknya terus memberikan sokongan penuh kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kerajaan PN di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini sedang berfungsi dengan baik dan tidak wujud sebarang isu berbangkit.

"Pada saya tidak berbangkit soal pembubaran Parlimen kerana kita ada kerajaan dan Perdana Menteri, malah tidak timbul sebarang isu ketidakstabilan politik.

"Kerajaan PN sangat mantap dari segi jumlah sokongan, kerusi juga semakin bertambah sebab ada yang 'menyeberang' untuk menyokong kerajaan PN.

"Pada saya, perkara yang bersifat politik berlebihan harus dikurangkan dan beri tumpuan kepada penyelesaian masalah rakyat. Rakyat sudah letih dengar orang politik bercakap mengenai masalah politik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu untuk meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen secepat mungkin berikutan ketidakstabilan politik ketika ini.

Mohamad menerusi kenyataannya semalam, meminta kuasa rakyat dikembalikan dalam menentukan masa hadapan negara.

Annuar berkata, mesyuarat dalam Muafakat Nasional turut mengulangi pendirian rasmi untuk terus menyokong dan memberi komitmen mendokong kepada kepimpinan kerajaan kini.

"Seeloknya kita beri tumpuan kepada kerja sebagai sebuah kerajaan yang perlu diutamakan," katanya.

Terdahulu, beliau selaku Menteri Wilayah Persekutuan merasmikan Pameran Kartun Kartunis vs COVID-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia yang mempamerkan lebih 100 lukisan dari kartunis tanah air, Indonesia dan Singapura. - BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Is Project 1408 the 2017 Ducati 1299 Superleggera?