Pensyarah Universiti Mahu Saman Pemimpin DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa RM5 Juta
KUCHING: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff menghantar tiga surat tuntutan kepada tiga pemimpin DAP hari ini, termasuk Abdul Aziz Isa Marindo.
Kenyataan pengerusi DAP Batu Kitang itu dimuat naik di Facebooknya pada 7 Jun 2017.
Abdul Aziz ialah lulusan ijazah sarjana muda politik dan pemerintahan dari Universiti Malaysia Sarawak.
Beliau pemimpin muda DAP yang dilihat lantang bersuara di atas pentas parti pembangkang itu.
Menurut surat tuntutan itu kenyataan berkenaan didakwa mengandungi tujuh kenyataan yang berunsur fitnah terhadap Kamarul Zaman.
Kata Kamarul Zaman yang juga seorang penganalisis politik, kenyataan Abdul Aziz antara lain membawa maksud kesahihan kelayakan akademiknya tidak dapat dipastikan.
Bahawa pensyarah berkenaan juga mempunyai fikiran yang tidak kukuh dan memiliki hati busuk.
Kamarul Zaman menuntut agar pemimpin DAP berkenaan membuat kenyataan terbuka yang mengakui dan mengisytiharkan kepalsuan semua kandungan hantaran atau artikel tersebut dengan penekanan terhadap kenyataan fitnah di dalamnya.
Beliau turut dituntut memohon maaf, tanpa pengecualian, terma mahupun syarat untuk penerbitan hantaran atau artikel berkenaan, di samping aku janji yang mengikat dan boleh dikuatkuasakan untuk tidak mengulangi perbuatan yang sama di lain masa.
Selain itu, Abdul Aziz dituntut membayar ganti rugi RM5 juta setiap seorang sebagai pampasan disebabkan penerbitan kenyataan yang dikatakan fitnah berkenaan.
Katanya, sekiranya pemimpin DAP itu tidak membalas tuntutan berkenaan dalam masa tujuh hari dari tarikh penerimaannya, maka tindakan undang-undang akan dimulakan terhadapnya.
Dua lagi pemimpin DAP yang disaman ialah Adun Perai, Dr P Ramasamy dan Adun Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid. - SarawakVoice
Comments
Post a Comment