Perkhidmatan Telekomunikasi, Jalur Lebar Di Pedalaman Sarawak Ditingkatkan


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah pelajar dan penduduk di situ yang terpaksa keluar jauh daripada kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.

Hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan terbabit bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan penduduk.

Dalam kenyataan hari ini, SKMM menyatakan sebanyak 185 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) akan mula dibina meliputi semua bahagian di Sarawak.

"Daripada jumlah itu, tujuh menara baharu dirancang untuk dibina di Pakan dan kesemuanya dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.

"Inisiatif peluasan liputan komunikasi adalah usaha berterusan SKMM sejak dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) mula diwujudkan pada 2003," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga Mei 2020, SKMM dengan kerjasama syarikat telekomunikasi mendirikan sejumlah 553 menara telekomunikasi selain menaik taraf sejumlah 1,064 menara telekomunikasi kepada rangkaian 3G dan 4G di Sarawak.

Menurut kenyataan itu, SKMM sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

"Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman.

"Antara kaedah alternatif yang diguna pakai bagi mengatasinya ialah penggunaan rangkaian satelit dan bekalan janakuasa diesel yang menyebabkan liputan tidak stabil," menurut kenyataan itu.

SKMM komited dengan misinya untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi menyeluruh kepada rakyat terutamanya di kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang digital di seluruh negara. BHOnline

Comments

Popular posts from this blog

Yamaha Crossplane Cranshaft

Disimbah menantu dengan air panas

Red Riders - Tay Motors Anjur Jelajah Motosikal Kuching - Kinabalu