Bangladesh Larang Pelarian Rohingya Tinggalkan Pulau
DHAKA: Ratusan pelarian Rohingya ditempatkan di pulau yang kerap dilanda banjir di Teluk Benggala tidak akan dibenar meninggalkannya kecuali untuk kembali ke negara asal, kata pihak berkuasa Bangladesh.
Kira-kira 306 etnik Islam Rohingya dari Myanmar itu ditempatkan di pulau Bhashan Char April lalu selepas diselamatkan dari dua bot yang cuba menyeludup mereka ke Malaysia.
Nasib mereka mendapat perhatian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa dan pemimpin masyarakat, yang mereka ditempatkan di kem pelarian lebih selesa di tanah besar.
Pentadbir wilayah yang merangkumi pulau itu, Mohammed Khorshed Alam Khan, memberitahu AFP bahawa pelarian terbabit akan kekal di Bhasan Char sehingga mereka dihantar pulang ke Myanmar.
Katanya, kesemua mereka dijaga dengan baik dan mempunyai kemudahan jauh lebih selesa berbanding di kem pelarian yang sesak di Cox's Bazar di mana lebih 700,000 etnik Rohingya mendapatkan perlindungan.
Mereka adalah kumpulan yang melarikan diri daripada operasi tentera di Myanmar pada 2017.
April lalu, pihak berkuasa Bangladesh berkata etnik Rohingya terbabit akan ditempatkan di pulau berkenaan bagi membendung penularan COVID-19 di kem pelarian.
Seorang pemimpin Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar berkata saudara pelarian yang berada pulau berkenaan mahu mengadakan rundingan dengan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh.
Ketua Persatuan Arakan Rohingya untuk Keamanan dan Hak Asasi Manusia, Mohib Ullah, meminta pihak berkuasa menghantar anak-anak mereka kembali kepada keluarga masing-masing. - AFP
Comments
Post a Comment